Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

CUBAAN dua lelaki menjual kereta Volkswagen yang ditarik tanpa diserahkan kepada pihak bank mengundang padah apabila ditahan polis kelmarin.

Suspek berusia 34 dan 44 tahun itu ditahan pada 2.24 pagi di daerah Kuala Muda selepas mangsa membuat laporan polis kehilangan keretanya.

Menurut sumber polis, pemilik kereta berusia 43 tahun itu pada mulanya meletakkan keretanya di hadapan Kulim Central, Kulim, 3 petang pada 3 Mei lalu.

“Mangsa terkejut apabila mendapati keretanya tiada di tempat parkir sebelum seorang wanita memberitahu suspek menarik keretanya.

“Mangsa yang tidak berpuas hati kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber berkata, difahamkan mangsa tertunggak tiga bulan pinjaman kereta itu menyebabkan kenderaannya ditarik bank.

“Bagaimanapun suspek tidak menyerahkan semula kereta yang ditarik itu kepada pihak bank.

“Susulan itu, polis kemudian mengesan dan menahan kedua-dua suspek di daerah Kuala Muda,” katanya.

Katanya, hasil soal siasat suspek kemudian memberitahu menyembunyikan kenderaan itu di bangunan kosong belakang stesen minyak di Pondok Labu, Kulim.

“Polis kemudian ke lokasi terbabit dan merampas semula kereta itu 5.23 petang semalam untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 3:53 PM