Nibong Tebal : Sekumpulan penyamun yang menyangka mereka memperoleh wang daripada beg milik seorang ahli perniagaan yang dilarikan berputih mata apabila ia hanya mengandungi beberapa dokumen milik mangsa.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi di persimpangan lampu isyarat Bukit Tambun, di sini, pagi semalam, mangsa berusia 46 tahun itu dalam perjalanan pulang selepas mengeluarkan wang di sebuah bank berhampiran dan berhenti di persimpangan lampu isyarat terbabit.

Namun, dia tidak menyedari diekori sekumpulan tiga lelaki yang menaiki kereta Mercedes kelabu sebelum dua daripada suspek bersenjatakan parang panjang dan besi pembuka tayar menghampiri keretanya.

Menurut sumber, dua suspek terbabit memecahkan cermin kereta penumpang depan dan belakang sebelum mengacukan parang ke arah mangsa dan meminta dia menyerahkan wang.

“Mangsa yang panik kemudian memberitahu wang miliknya diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dalam beg dan penjenayah ketika itu terus mencapai beg terbabit sebelum melarikan diri.

“Secara kebetulan, ketika kejadian sepasukan anggota polis menjalankan siasatan kes lain dan melihatkan keadaan itu mereka cuba menahan suspek,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada suspek cuba menyerang anggota polis terbabit kemudian melepaskan tembakan mempertahankan diri.

“Bagaimanapun, tembakan itu tersasar dan suspek yang ketakutan terus melarikan diri dalam keadaan jalan raya sesak,” katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan terbabit yang enggan dikenali berkata, dia baru mengeluarkan RM20,000 untuk membayar gaji pekerjanya.

“Lagipun, saya langsung tidak menyangka mereka boleh melakukan perbuatan itu di tengah jalan yang ketika itu agak sibuk dengan kenderaan lain,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Simpang Ampat, di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes samun berkenaan dan kini berusaha menjejaki suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:57 AM