MANSOR menunjukkan kajian pengalaman polis melawan pengganas komunis. FOTO Ihsan Pembaca.
MANSOR menunjukkan kajian pengalaman polis melawan pengganas komunis. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“KAJIAN ini adalah sumbangan kecil kepada pucuk pimpinan, butirannya menceritakan peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang pengganas komunis,” kata Asisten Superintendan Mansor Omar.

Pegawai Turus Risikan, Operasi dan Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan ini sudah menjalankan 18 kajian berhubung pembabitan bekas anggota PDRM melawan pengganas komunis dari 1948 hingga 1980-an.

Mansor menyertai PDRM pada 1984 berkata, kajian dimulakan pada tahun 2000 itu diteruskan hingga kini dan didokumenkan (berbentuk buku).

Selain itu graduan Sarjana Muda Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu turut memiliki foto lama dan video era komunis.

“Ramai tidak tahu pengorbanan bekas anggota (PDRMs) bermati-matian melawan pengganas komunis.

“Kajian itu membabitkan 37 pertempuran antaranya Tragedi Bekok dan Kuala Sedeli di Johor, Perang Kaum di Padang Lebar dan Kongkoi di Jelebu serta serangan hendap di Ladang Geddes di Jempol,” katanya.

Beliau, sepanjang bersama PDRM beliau sudah berkhidmat di 15 balai polis, unit risikan jenayah di Ipoh, Klang, Melaka, Tampin, Gemas, Kota Tinggi, Rompin, Terengganu dan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

“Jika tidak bertugas atau ada masa terluang, saya mengunjungi kediaman bekas anggota di seluruh negara yang berkhidmat antara 1948 hingga 1980-an.

“Kira-kira 200 bekas anggota sudah ditemui dan mereka berusia 75 hingga 92 tahun menceritakan kejadian sebenar sesuatu insiden,” katanya.

Meskipun terpaksa mengeluarkan wang sendiri, dia tetap meneruskan kajiannya itu atas dasar minat selain sumbangan kecil kepada PDRM.

“Dalam keadaan negara membangun, ramai dalam kalangan anak muda melupakan sejarah negara dan bangsa.

Katanya, kajian membabitkan konstabel khas, konstabel polis tambahan, polis bantuan, ‘Home Guard’ dan ‘Kampung Guard’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 5:10 PM