MOHAMMAD Hamiddan (tiga dari kiri) menunjukkan barangan rampasan. FOTO Hairul Anuar Rahim.
MOHAMMAD Hamiddan (tiga dari kiri) menunjukkan barangan rampasan. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein


HANYA dalam tempoh empat hari, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup rokok, minuman keras dan mercun membabitkan nilai rampasan dan cukai RM2.142 juta.

Semua rampasan berkenaan adalah hasil kejayaan tiga operasi berasingan Jumaat lalu dan semalam.

Jumlah rampasan terbesar tahun ini membabitkan RM250,000 nilai barangan dan RM1.9 juta nilai cukai.

Pengarah Kastam negeri Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Indah 26/5, Taman Bukit Indah, 2.45 petang, Jumaat lalu.

Beliau berkata, dalam operasi itu tiga komoditi barang tidak berkastam iaitu minuman keras, mercun dan rokok dirampas.

“Ketika serbuan ada tiga individu di premis berkenaan dan seorang cuba melarikan diri, namun kita berjaya menahan lelaki terbabit serta mengarahkan dua rakannya membuka pintu.

“Hasil pemeriksaan, kita merampas 3,854.24 liter bir, 1,509.05 liter minuman keras import dan 372.85 liter minuman keras tempatan.

“Manakala, bagi rokok kita merampas 383,600 batang rokok putih dan 704 kilogram mercun pelbagai jenis ditemui,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, Johor Bahru, hari ini.

Mohammad Hamiddan berkata, semua barangan itu dianggar bernilai RM79,719.58 dengan cukai bernilai RM461,917. 48.

Selain itu katanya, tiga lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun itu juga ditahan.

Hasil siasatan awal pihaknya percaya rumah berkenaan dijadikan stor sementara bagi menyimpan barangan berkenaan.

Katanya, 6.40 pagi semalam, pihaknya menahan sebuah lori di Jalan Susur 1, Kampung Sri Paya, Kulai.

Menurutnya, pemandu lori yang juga lelaki tempatan berusia 52 tahun cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati lori berkenaan membawa 100 kotak besar rokok putih pelbagai jenama atau sejuta batang rokok dengan nilai dianggar sebanyak RM80,000 dan nilai cukai RM668,000,” katanya.

Sementara itu katanya dalam satu pemeriksaan di Jalan Sri Putri 3/1, Kulai, 6.30 petang semalam pihaknya menemui sebuah lori berkunci tanpa pemandu atau pemilik.

Jelasnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 114 kotak besar atau 1.14 juta batang rokok putih pelbagai jenama dengan nilai rampasan RM91,200 dan nilai cukai RM761,520.

Mohammad Hamiddan berkata, semua barang kes dibawa ke Menara Kastam untuk siasatan lanjut dan suspek direman bagi membantu siasatan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut, namun percaya semua kes ini membabitkan sindiket berlainan,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes pertama, siasatan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 34(1) Akta Eksais 1976, manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) akta sama dan Seksyen 135(1)(d) akta sama untuk kes ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 5:09 PM