MARINI menunjukkan gambar Mykad arwah bapanya. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
MARINI menunjukkan gambar Mykad arwah bapanya. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


KEGEMBIRAAN seorang anak ingin bertemu bapa selepas terpisah selama 30 tahun dan menyambut Ramadan bersama-sama tahun ini bertukar episod sedih apabila warga emas itu meninggal dunia hari ini.

Marini Man, 52, menetap di Permatang Pauh, Pulau Pinang berkata, dia tidak pernah putus asa untuk mencari atwah bapanya, Man Din, 83.

“Hampir 30 tahun saya cuba cari ayah tapi tak tahu lokasi dia berada hinggalah terbaca kisah ayah mencari saya dan adik tiri yang tular di Facebook (FB) semalam, maklumat itu menyebabkan saya teruja untuk berjumpanya.

“Memang tak sabar nak jumpa ayah namun tidak kesampaian apabila dimaklumkan dia meninggal dunia pagi tadi. Namun saya sempat menatap wajahnya buat kali terakhir.

“Saya juga sedikit terkilan kerana tak sempat menyambut hari pertama Ramadan esok, bersama arwah,” katanya ketika ditemui di rumah sepupunya di Kampung Paya Nedam, Mukim Air Putih, Pendang.

Katanya, ibu dan bapanya berpisah ketika dia masih dalam kandungan namun pernah berjumpa arwah ketika berusia 10 tahun.

Menurutnya, pertemuan itu berlaku pada majlis perkahwinan ibu saudaranya dengan seorang penduduk kampung arwah bapanya.

“Ayah saudara ada beritahu lokasi ayah tinggal dan ketika itu saya sempat mengecam wajah arwah.

“Ketika itu ayah sudah berkahwin dengan wanita lain dan saya mempunyai seorang adik tiri. Tapi selepas majlis itu kami memang tak pernah bersua hinggalah hari ini,” katanya.

Kisah bapanya yang hidup sebatang kara dan dijaga cucu saudara sejak lebih setahun lalu tular di FB sejak semalam kerana warga emas itu dalam keadaan tenat.

Allahyarham Man, meninggal dunia 7.25 pagi tadi selepas muntah beberapa kali dan tidak sempat bertemu dengan anak-anaknya.

Marini berkata, dia mengetahui bapanya mencarinya dan adik tiri menerusi FB sepupunya, Norhayati Md Khir, 40.

Susulan maklumat diperoleh dia terus menghubungi sepupunya itu pada 3 petang semalam.

Dia meluahkan rasa terkilan berikutan segelintir netizen mendakwa dia sengaja menyingkirkan bapanya melalui ruangan komen di FB sedangkan mereka tidak tahu mengenai apa yang berlaku.

“Sepupu saya beritahu ayah sebelum ini kerap berpindah-randah dan tinggal di pondok mengaji di merata tempat hingga gagal mengesannya.

“Namun sejak beberapa tahun lalu, dia tinggal di rumah di Simpang Empat Kangkung di Alor Setar seorang diri dan penduduk kampung menghubungi sepupu selepas dia terjatuh di rumah itu. Kemudian sepupu membawanya tinggal di sini sampai sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 3:31 PM