MOHAMAD mengusahakan semaian benih cili padi dalam rumah semai untuk membantu usahawan tani Bumiputera di kebunnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dekat Alor Gajah.
MOHAMAD mengusahakan semaian benih cili padi dalam rumah semai untuk membantu usahawan tani Bumiputera di kebunnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dekat Alor Gajah.
Hassan Omar


TIDAK ramai usahawan tani membabitkan diri dalam sektor menyemai benih cili padi kerana rumit dan berdepan risiko kegagalan menghasilkan pokok berkualiti.

Bagaimanapun, usahawan tani muda, Mohamad Idris, 30, tetap berani menceburi sektor itu, malah sedia menghadapi risikonya dengan menyemai ribuan benih tanaman berkenaan khususnya untuk membantu usahawan tani Bumiputera yang baru berjinak-jinak dengan industri penanaman cili padi.

Mohamad yang berpengalaman menanam cili padi sejak 2012 berkata, selepas mencapai kejayaan dalam projek pertama penanaman cili padi pada tahun itu, dia mula menceburi sektor menyemai benih untuk usahawan tani lain.

“Saya memiliki rumah semai yang dilindungi sepenuhnya daripada serangan serangga perosak selain bumbung untuk menahan panas dan hujan yang amat penting bagi memastikan benih disemai tidak rosak.

“Saya mendapatkan benih berkualiti tinggi daripada pembekal sebelum dirawat dengan bahan tertentu untuk membiarkannya bercambah selepas lima hari dan selepas itu saya memindahkannya ke dalam bekas semaian di rumah semai,” katanya ketika ditemui di kebun cili padinya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini, semalam.

Dia berkata, setiap bekas semaian mempunyai 104 lubang semaian yang perlu dipastikan tidak diserang serangga perosak kerana serangan itu tidak mampu dikesan ketika anak pokok masih berada dalam lubang terbabit.

Mohamad berkata, apabila anak pokok mencapai usia 20 hari, ia sesuai dipindahkan ke dalam beg poli di kebun yang dilengkapi sistem penyaluran paip dari tangki air utama.

“Apabila pokok sudah ditanam dalam beg poli, barulah saya boleh kesan sama ada benih itu benar-benar berkualiti atau sudah dicemari serangga perosak ketika berada dalam lubang semaian,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan penanam cili padi tidak berminat menyemai benih walaupun untuk kegunaan sendiri kerana ia terlalu rumit dan terdedah kepada risiko serangan penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:00 AM