Mohd Azhari dan Junaidah menanam cili padi bara  di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.
Mohd Azhari dan Junaidah menanam cili padi bara di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kecacatan fizikal bukan alasan bagi penuntut orang kurang upaya (OKU) Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) untuk menceburi bidang pertanian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Mohd Azhari Abdullah, 20, yang mengalami masalah pertuturan sejak lahir, memanfaatkan tanah di belakang kediamannya di Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, untuk menanam cili padi bara melalui bimbingan neneknya, Jamilah Nasir, 60.

Minat berkenaan timbul selepas penternakan ikan keli dalam kanvas yang diusahakannya bersama ibu, Junaidah Tompang, 39, membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan untuk keluarga.

"Sejak PKP 3.0 dilaksanakan awal Jun lalu, ibu yang berkerja kilang manakala nenek berkhidmat di kantin terpaksa bercuti.

"Mujur ikan keli yang diternak dapat dijual pada harga RM8 sekilogram sekaligus menampung perbelanjaan keluarga," katanya ketika ditemui di kebun cili padi tadi.

Dia berkata, sejak menamatkan pengajian di KMM pada Mei lalu, dia mengusahakan penanaman 700 batang pokok cili padi bara.

Katanya, usaha berkenaan dilakukan menggunakan jentera pembajak untuk menggemburkan tanah dan membina batas yang disumbangkan Jabatan Pertanian.

Dia berkata, mereka gembira kerana anak pokok cili padi yang dipindahkan dari tapak semaian sebulan lalu membesar dengan sempurna dan dijangka mampu dituai dalam tempoh tiga bulan lagi.

"Alhamdulillah, pokok cili padi semakin membesar dan perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan serangan serangga perosak," katanya.

Mohd Azhari berkata, keputusan peperiksaan semester keempat yang diperoleh pada Khamis lalu memberi sinar untuknya melanjutkan pengajian ke universiti awam.

"Dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0, saya bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 7:20 PM