Sebahagian PATI warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal menerusi pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina hari ini di Sandakan. FOTO ihsan MKN
Sebahagian PATI warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal menerusi pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina hari ini di Sandakan. FOTO ihsan MKN
Poliana Ronnie Sidom


SERAMAI 525 tahanan warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina hari ini.

Daripada jumlah itu, 403 orang adalah lelaki, 102 tahanan wanita, manakala 72 tahanan lagi membabitkan kanak-kanak dengan tahanan berusia antara sebulan hingga 70 tahun.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof, berkata MKN juga dalam perancangan untuk menghantar pulang seramai 158 tahanan warga Indonesia menerusi pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia, minggu ini.

Katanya, jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diusir ke negara asal bermula awal tahun ini adalah seramai 4,115 orang termasuk 90 yang diusir melalui lapangan terbang, membabitkan 19 siri pengusiran.

“Ini menjadikan jumlah yang diusir termasuk yang pulang secara sukarela sejak 1990 adalah seramai 581,947 orang.

“Proses penghantaran balik PATI ke negara asal adalah komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kemasukan PATI ke negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sitti Saleha turut mengingatkan semua rakyat di negeri ini agar memberi kerjasama dan bantuan kepada pihak penguat kuasa dalam menangani masalah PATI dengan menyalurkan maklumat, serta mengelak menggaji dan melindungi PATI.

Beliau berkata, menjadi kesalahan serius mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI atau membenarkan PATI berada dalam premis mereka yang boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/ 1963 (Pindaan 2002).

“Kita tidak akan berganjak dalam usaha menjadikan Sabah mencapai matlamat sifar PATI dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi keselamatan serta kemakmuran rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 8:10 PM