DR Maszlee melawat ruang pameran selepas Majlis Penjenamaan Semula Kolej Komuniti. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Maszlee melawat ruang pameran selepas Majlis Penjenamaan Semula Kolej Komuniti. FOTO Luqman Hakim Zubir
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Pendidikan mempertimbang untuk menukar nama Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai usaha mengubah stigma dan persepsi masyarakat terhadap bidang berkenaan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya sedar bidang TVET belum menjadi pilihan arus perdana sehingga terdapat seakan stigma dalam masyarakat yang menyifatkan ia pilihan kedua atau untuk mereka yang tidak berjaya.

“Justeru, Kementerian Pendidikan akan mengorak langkah mengubah stigma dan persepsi itu. Bagi kita TVET atau namanya pun mungkin kita terpaksa ubahlah.

“Bila sebut TVET dan vokasional, ia bukanlah sesuatu yang dilihat tinggi namun kita perlu menghargai bahawa kemahiran manusia itu berbeza dan ada orang cemerlang melalui TVET.

“Jadi komitmen Kementerian Pendidikan adalah untuk mengangkat TVET supaya ia juga menjadi pilihan arus perdana,” katanya berucap pada majlis pengumuman inisiatif terbaharu Kolej Komuniti di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, bidang TVET atau kemahiran ini juga tidak boleh hanya sekadar semata-mata disempitkan kepada tenaga kerja tetapi ia lebih daripada itu.

“Kita perlu memacu dan menongkah arus untuk menjadi pencipta dan pereka cipta supaya kita lebih kreatif dan inovatif malah, kita tahu pasaran global menantikan idea yang inovatif.

“Oleh itu, kita komited untuk melahirkan mereka yang boleh melayakkan idea inovatif dan bukan hanya sekadar tenaga kerja semata-mata,” katanya.

Mengenai majlis pengumuman inisiatif terbaharu Kolej Komuniti, Maszlee berkata, ia membabitkan tiga inisiatif baharu dengan yang pertama ialah Program ACES iaitu inisiatif terbuka kepada komuniti dan pelajar lepasan menengah melalui empat bentuk laluan baharu iaitu Apprenticeship, Professional Certification, Entrepreneurship dan Sijil Kolej Komuniti.

Beliau berkata, inisiatif kedua ialah Maker Market iaitu satu ruang pembelajaran abad ke-21 berkonsepkan ruang kerja kolaborasi dalam kolej komuniti yang membolehkan pengguna untuk belajar melalui reka cipta serta berkolaborasi dengan komuniti dan industri.

Katanya, Maker Market akan menjadi pusat penganjuran pertandingan yang bercirikan Revolusi Perindustrian Keempat dan ia juga terbuka untuk dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat sebagai platform berkongsi idea, meneroka ilmu dan kemahiran baharu serta menghasilkan reka cipta dan inovasi.

Seterusnya, Maszlee berkata, inisiatif ketiga ialah Pondok Perdana iaitu bertujuan memperkasa dan menambah nilai set kemahiran pelajar pondok melalui program lebih tersusun dan berstruktur.

“Bagi Tujuan Ini, Pertubuhan Pondok Perdana Iaitu Sebuah Badan Bukan Kerajaan Yang Menjalankan Program Di Institusi Yang Dinamakan Pondok Perdana, Menyatakan Hasrat Untuk Bekerjasama Dengan Kolej Komuniti Sebagai Pembekal Bagi Program Kemahiran Peringkat Sijil Dan Diploma Kepada Pelajar Mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 5:17 PM