ISMAIL Sabri (dua, kanan) melawat pameran yang terdapat pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan Benut. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri (dua, kanan) melawat pameran yang terdapat pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan Benut. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh dan Mahaizura Abd Malik

Pontian: Kerajaan bercadang menggubal dasar baharu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memperkasa dan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam bidang itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, langkah itu sebagai satu keperluan selepas melihat rekod TVET membuktikan mampu melahirkan pekerja mahir terlatih dan berupaya mencipta kerja sendiri serta menjadi rebutan majikan.

Katanya, kebolehpasaran pelatih lepasan TVET pada 2020 mencecah 87 peratus mengatasi 84.4 peratus rekod kebolehpasaran di peringkat nasional.

"Secara keseluruhannya kadar kebolehpasaran graduan kolej komuniti pada tahun sama ialah 94.2 peratus. Nilai ini paling tinggi antara institut latihan kemahiran awam yang kita ada di Malaysia.

"Kalau dulu, kita tahu sijil latihan TVET ini tidak boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tetapi hari ini sudah ada beberapa universiti menerima sijil vokasional TVET ini untuk kelangsungan pelajar bidang ini.

"Jadi, kita bercadang untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggubal dasar baharu supaya pelajar boleh membuat pilihan subjek yang mereka ingin ceburi daripada tingkatan 1," katanya pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit@ Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad serta Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ismail Sabri berkata, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah kementerian itu juga perlu mempergiatkan lagi pelbagai program dalam mendekati komuniti setempat terutama golongan belia bagi memastikan kursus ditawarkan memenuhi kehendak dan keperluan semasa.

"Saya minta JPPKK secara berterusan mengadakan libat urus bersama kepimpinan masyarakat setempat untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang komuniti perlukan begitu juga kursus ditawarkan mesti dipadankan dengan industri di sekitar kawasan (setempat).

"Jadi, tidak timbul masalah ketidakpadanan antara kerja dan kursus ditawarkan daripada situ barulah kita boleh rangka dan laksanakan program komuniti yang bersesuaian.

"JPPKK juga haruslah secara komprehensif mempromosikan segala manfaat TVET supaya kita mahu persepsi yang mengatakan TVET pendidikan kelas kedua ditepis," katanya.

Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM25 juta kepada JPPKK tahun ini untuk melaksanakan pelbagai pemerkasaan program TVET dengan mensasarkan 25,000 pelatih mendapat manfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 1:25 PM