Pengarah Jabatan Laut Johor, Dickson Dollah (kiri) bersama Abu Bakar menunjukkan kesan tumpahan minyak yang sudah merebak ke pesisir Pantai Tanjung Balau. FOTO Zain Ahmed
Pengarah Jabatan Laut Johor, Dickson Dollah (kiri) bersama Abu Bakar menunjukkan kesan tumpahan minyak yang sudah merebak ke pesisir Pantai Tanjung Balau. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabaran Sani


LEBIH 50 nelayan di Tanjung Balau dan Tanjung Lompat bukan saja tidak boleh ke laut setiap kali kawasan itu dicemari tumpahan minyak malah menanggung kerugian apabila pelbagai peralatan ke laut rosak.

Lebih menyedihkan dalam kejadian terbaru semalam, tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau bukan saja mengakibatkan nelayan tidak boleh mencari rezeki malah kerosakan semula jadi terlalu teruk apabila pantai kira-kira dua kilometer bertukar hitam.

Tinjauan mendapati, kesan pencemaran boleh dilihat jelas dengan minyak likat hitam di kawasan dua kilometer di pesisir pantai hingga boleh menjejaskan sektor pelancongan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pengerang, Abu Bakar Mohamad, 70, berkata, pembuangan sisa minyak hitam itu menjejaskan mata pencarian 50 nelayan di Tanjung Balau dan Tanjung Lompat.

Katanya, sisa minyak hitam itu disedari pagi semalam selepas kesan pencemaran dapat dilihat pada bot dan batu di pesisir pantai.

“Saya kemudian mengambil gambar dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Harapan kami supaya kerja pembersihan dapat dipercepatkan memandangkan ia menjejaskan mata pencarian nelayan pesisir pantai,” katanya ditemui di pengkalan Tanjung Balau, Kota Tinggi hari ini.

Menurutnya, kesan tumpahan minyak itu sangat berbeza berbanding sebelum ini kerana ia lebih likat selain merosakkan kelengkapan nelayan.

“Kebanyakan nelayan mengalami kerugian bukan saja kerana tidak dapat turun ke laut akibat pencemaran ini, tetapi kerosakan kelengkapan menangkap ikan termasuk bubu.

“Bayangkan setiap bot kecil hilang pendapatan lebih RM50 sehari, selain menjejaskan mata pencarian bot memancing di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, penduduk berharap pihak berwajib dapat membantu membersihkan sisa tumpahan minyak dengan segera bagi mengelak kesan jangka panjang hingga menjejaskan pendapatan nelayan.

“Ia mengambil kira kesan pencemaran yang berlaku sebelum ini hingga mengambil masa enam bulan untuk membersihkannya itu pun hasil kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

“Kalau ia dapat diatasi segera lagi baik kerana dapat mengurangkan kesan pencemaran jangka panjang seperti kami lalui sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, penduduk berharap dalang yang membuang minyak hitam itu dapat ditahan, meskipun sedar kesulitan pihak berwajib untuk menjejakinya.

“Kami mahu mereka bertanggungjawab dan menyebabkan kerosakan hingga menjejaskan mata pencarian nelayan serta merosakkan kelengkapan menangkap ikan dibawa ke muka pengadilan.

“Mereka perlu dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 5:03 PM