Ungka Tangan Putih antara haiwan yang dipamerkan di THLL. FOTO Hamzah Osman
Ungka Tangan Putih antara haiwan yang dipamerkan di THLL. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


HAIWAN hampir pupus, Ungka Tangan Putih atau dikenali ‘Melati’ menjadi tarikan terbaru pengunjung di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL), Langkawi.

Lebih mengujakan ungka betina atau nama saintifiknya Hylobates Lar berusia 31 tahun itu adalah kurniaan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Haiwan berbulu coklat kemerahan dan memiliki gegelung bulu putih sekeliling tangan dan kaki dipindahkan dari Istana Anak Bukit, Alor Setar ke THLL pada 9 April lalu.

Pelepasan spesies haiwan terancam ke sangkar pameran untuk tontonan awam di taman itu disempurnakan pemilik THLL, Datuk Richard Long di Langkawi hari ini.

Pengurus Taman THLL, Nur Hamzani Hamzah berkata, RM60,000 dibelanjakan pihaknya untuk membina sangkar haiwan kesayangan Tuanku Sallehuddin itu.

“Kami memikul tanggungjawab diberikan pihak istana untuk menyediakan tempat tinggal selesa selain memastikan Melati mempunyai pasangan hidup serta keluarga bahagia pada masa akan datang.

“Ia seiring pelan syarikat melakukan penambahbaikan zoo menerusi membawa masuk lebih banyak spesies haiwan unik untuk tontonan pengunjung,” katanya.

Menurutnya, THLL adalah destinasi ‘mesti lawat’ di Langkawi dan mendapat pengiktirafan portal pelancongan TripAdvisor untuk Anugerah Kecemerlangan selama enam tahun berturut-turut sejak 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 12:24 PM