Mohamad Hussin


“SAYA tidak menyangka akan memenangi hadiah utama kerana tidak pernah menyertai mana-mana peraduan sebelum ini.

“Alhamdulillah, walaupun baru beberapa bulan membuat cagaran, saya terpilih memenangi hadiah istimewa ini,” kata Zainatul Ashiqtn Mohammed Lazin, 37, yang merangkul hadiah utama sebuah kereta Proton Persona bernilai RM55,000 sempena peraduan Pos ArRahnu Persona Gold.

Zainatul Ashiqtn yang bekerja sebagai pegawai operasi di sebuah syarikat agensi pekerja asing di Johor Bahru berkata, dia terkejut apabila dihubungi pihak Pos ArRahnu yang memaklumkannya terpilih memenangi hadiah utama.

Katanya, dia mula mencagarkan jongkong emas (gold bar) sebanyak 11 gram membabitkan nilai RM1,400 sejak Mei tahun lalu.

“Saya tidak terfikir untuk menyertai peraduan ini kerana percaya kalau ada rezeki saya, Insya-Allah pasti akan menang.

“Buat pertama kali saya memenangi hadiah utama sebuah kereta kerana tidak pernah menyertai mana-mana peraduan sebelum ini.

“Kereta pertama saya ialah Perodua Viva dan hadiah kereta (Persona) ini akan saya gunakan sebagai kenangan memenangi peraduan ini,” katanya yang ditemui di majlis penyampaian hadiah sempena Peraduan Pos ArRahnu Persona Gold di Ibu Pejabat Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Operasi Pos Niaga Pos Malaysia, Abdul Razak Mohd A Kadir.

Tempat kedua dimenangi Rasmi Rusli dari Sabah manakala tempat ketiga dimenangi Hazirul Shakir Jasmin dari Kedah yang masing-masing membawa pulang hadiah motosikal Modenass Kriss MR2.

Pada majlis itu, seramai 23 pemenang bertuah akan menerima cenderamata produk emas Pos ArRahnu pelbagai nilai membabitkan 0.5 gram hingga satu dinar.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, Pos Ar Rahnu Sdn Bhd (Pos ArRahnu), anak syarikat Pos Malaysia menyediakan perkhidmatan pembiayaan ArRahnu seperti peti deposit simpanan emas, penilaian emas dan taksir zakat emas percuma, penjualan bar dan dinar emas serta pembelian semula emas terpakai.

Beliau berkata, Pos Ar Rahnu adalah usaha Pos Malaysia berhad untuk membantu peniaga kecil, keluarga yang berpendapatan sederhana dan penjawat awam untuk mendapatkan sumber kewangan daripada sumber mudah, ringkas dan selamat melalui pengadaian tanpa faedah kepada semua.

“Penganjuran Peraduan Pos ArRahnu Persona Gold bermula 5 April hingga 5 Jun tahun lalu adalah sebahagian daripada inisiatif pemasaran tahunan kami untuk terus memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pelbagai perkhidmatan ditawarkan Pos ArRahnu.

“Ia memerlukan peserta untuk mencagarkan emas bernilai minimum RM1,000 di 80 cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara dengan tempoh pembiayaan sekurang-kurangnya enam bulan untuk layak menyertai peraduan ini.

“Dalam tempoh tiga bulan peraduan ini, Pos ArRahnu berjaya mendapat sambutan di luar jangkaan iaitu sebanyak 11,480 penyertaan membabitkan RM39 juta nilai pembayaran,” katanya.

Beliau berkata, edisi kedua Pos ArRahnu Persona Gold akan dilancarkan pada Jun depan berikutan sambutan positif ditunjukkan pelanggan dalam edisi pertama Persona Gold 2018.

Menurutnya, pihaknya menawarkan pembiayaan bercagarkan emas sehingga 75 peratus dari nilai marhun, iaitu antara kadar yang tertinggi di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 9:44 PM
ZAINATUL Ashiqtn bersama kereta Proton Persona yang dimenanginya sebagai cabutan bertuah Peraduan Pos ArRahnu Persona Gold, hari ini. FOTO Mohamad Hussin.
ZAINATUL Ashiqtn bersama kereta Proton Persona yang dimenanginya sebagai cabutan bertuah Peraduan Pos ArRahnu Persona Gold, hari ini. FOTO Mohamad Hussin.