Seorang lelaki ditahan polis atas kesalahan membawa daun ketum di Kampung Belukar Luas, Naka, Kedah semalam. FOTO Ihsan PDRM
Seorang lelaki ditahan polis atas kesalahan membawa daun ketum di Kampung Belukar Luas, Naka, Kedah semalam. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN seorang lelaki mengubah suai bumbung pacuan empat roda Mitsubishi Pajero bagi menyembuyikan 160 kilogram daun ketum gagal selepas ditahan polis di tepi jalan Kampung Belukar Luas, Naka, Padang Terap di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, suspek berusia 29 tahun itu memandu kereta itu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan anggota unit rondaan polis (MPV).

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, hasil pemeriksaan mendapati bumbung kenderaan itu diubah suai dan mengesyaki barangan terlarang disembunyikan.

Menurutnya, polis yang membuka bumbung itu kemudian menemui 16 bungkusan plastik hitam mengandungi 160 kilogram daun ketum bernilai RM4,800.

“Semakan juga mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1) (a)Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1962 serta Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah.

“Suspek yang sudah berkahwin itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:00 PM