KETULAN emas yang didulang pelajar UMK ketika menyertai Eksplorasi Alam Misi Teroka Sumber Mineral Semula Jadi di Kampung Kalai, Jeli. FOTO Ihsan UMK
KETULAN emas yang didulang pelajar UMK ketika menyertai Eksplorasi Alam Misi Teroka Sumber Mineral Semula Jadi di Kampung Kalai, Jeli. FOTO Ihsan UMK
Nor Amalina Alias


SERAMAI 77 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya mendulang 43.75 gram emas dan ketulan batu permata dianggarkan bernilai RM22,000 dalam Kem Eksplorasi Alam Misi Teroka Sumber Mineral Semulajadi, baru-baru ini.

Kem itu membabitkan penuntut UMK Kampus Kota, Jeli dan Bachok yang julung kali diadakan di Kampung Kalai, Batu Melintang, Jeli dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) bagi memenuhi tuntutan pengajian program akademi di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Bachok dan Fakulti Sains Bumi, Jeli.

Timbalan Naib Canselor UMK (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Zaliman Sauli berkata, eksplorasi itu diadakan selama tiga hari pada 4 hingga 6 April lalu yang turut disertai sukarelawan daripada Kelab Kembara 4x4 Kelantan.

“Penuntut diajar cara mendulang emas secara tradisional di tapak lombong emas di pedalaman Jeli, Kelantan menggunakan kuali dan dulang yang dipahat daripada kayu banir.

“Hasilnya, mereka berjaya mendulang beberapa gram emas yang dinilai oleh pakar mampu cecah harga RM7,000 selain menemui ketulan batu permata yang dikenali sebagai batu kecubung bernilai RM15,000,” katanya.

Penyelaras program, Mohd Asmawi Isa berkata, kawasan pedalaman Jeli kaya dengan sumber mineral seperti emas, perak dan batu permata yang sesuai untuk aktiviti penyelidikan.

“Mereka bukan saja dapat pengalaman baru mendulang emas tetapi diajar fasilitator untuk mengesan jenis tanah yang berpotensi dan teknik betul bagi mengasingkan batuan permata daripada batuan unsur lain,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penuntut, Ku Muhammad Ku Roseli ,22, berkata, penyertaannya dalam eksplorasi itu adalah pengalaman berharga apatah lagi apabila berjaya menemui batu permata berwarna putih yang dianggarkan bernilai RM350.

“Selepas lebih setengah jam mencari, saya menemui batu permata ini yang disahkan asli oleh pakar yang turut bersama kami. Buat masa ini, saya mahu simpan sebagai kenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 5:29 PM