SITI Aliza (tengah) mencium anaknya, Siti Madihah yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja. FOTO Nor Amalina Alias
SITI Aliza (tengah) mencium anaknya, Siti Madihah yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias

ANAK penebar roti canai mencatat kejayaan tersendiri apabila dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini.

Lebih manis, Siti Madihah Situah, 24, turut menerima anugerah terbaik alumni dan fakulti apabila mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.8 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam).

Siti Madihah berkata, kemiskinan keluarga dan melihat pengorbanan ayahnya, Situah Mokhtar, 51, yang menyara keluarga sebagai penebar roti canai manakala ibunya, Siti Aliza Sahar, 48 hanya suri rumah menjadi pendorong kejayaannya hari ini.

“Sebaik diterima masuk di UMK sesi September 2016/2017, saya tekad belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa ayah yang banyak berkorban bekerja sebagai penebar roti canai untuk membesarkan saya dan adik beradik lain.

“Ketika belajar saya turut membuat beberapa pekerjaan sambilan antaranya berniaga nasi bungkus dan air mineral di balkoni asrama memandangkan tidak mahu menyusahkan ibu bapa sepanjang pengajian.

“Alhamdulillah segala usaha selama ini berbaloi apabila dapat buktikan mampu capai kejayaan biarpun serba kekurangan,” katanya ketika ditemui dalam majlis konvokesyen itu di UMK Kampus Bachok.

Majlis disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan yang juga Canselor UMK, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Hadir sama, Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail dan mantan Ahli Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman yang turut menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) UMK.

Dalam majlis itu, Madihah menerima sijil dan pingat Pelajaran Diraja serta hadiah wang tunai RM5,000 dalam konvokesyen itu.

Seramai 2,062 penuntut UMK menerima sijil masing-masing membabitkan 17 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 38 graduan Ijazah Sarjana, 27 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 1,980 graduan menerima sijil Ijazah Sarjana Muda.

Menurutnya, dia bagaimanapun berasa sedikit ralat apabila kejayaannya tidak dapat dikongsi dengan ayahnya yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

“Ibu dan adik juga menumpang kereta bapa saudara dari Tanjung Karang, Selangor untuk meraikan hari konvokesyen pada hari ini.

“Kejayaan hari ini adalah hadiah kepada ibu bapa yang banyak berkorban untuk saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 6:57 PM