Pengunjung mandi manda di Sungai Muda yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
Pengunjung mandi manda di Sungai Muda yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad


LEBIH 500 penduduk kampung bersama wakil agensi kerajaan meluangkan masa menyertai Program Perkelahan Perdana Sungai Tular di Sungai Muda yang terletak di Kampung Kuala Kerik, Sik hari ini.

Program anjuran Pejabat Daerah Sik dengan kerjasama penduduk kampung itu bertujuan mendekatkan hubungan penduduk kampung dengan agensi kerajaan sekali gus memperkenalkan lokasi yang kini semakin menjadi tumpuan pengunjung itu kepada agensi terbabit.

Antara agensi yang turut serta dalam program julung kali itu adalah Pejabat Agama Daerah Sik, Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Belia dan Sukan, Pejabat Pendidikan Daerah serta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Ketua program, Asri Ahmad, 51, yang juga penduduk kampung berkata, kawasan itu dulunya hanya dikunjungi kaki pancing untuk memancing dan menangkap ikan.

“Walaupun keadaan sungai di sini cetek, namun kawasan sekitarnya dulu dipenuhi semak samun dan tiada siapa mengadakan aktiviti rekreasi di sini.

“Bagaimanapun, sejak belia kampung membersihkan kawasan ini awal tahun ini, kawasan sekitar sungai ini mula menjadi tumpuan pengunjung bukan saja penduduk setempat tetapi juga dari luar.

“Sejak tempat ini tular di media sosial, pengunjung semakin meningkat terutama pada hujung minggu dan juga pada musim cuti sekolah,” katanya.

Terdahulu, Asri berkata, program yang bermula jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari itu dimulakan dengan aktiviti gotong-royong menyediakan juadah tengah hari.

“Ada peserta ditugaskan menangkap ikan di sungai, memasak dan aktiviti lain.

“Selepas selesai program, ada mengambil peluang berkelah di tepi sungai sambil mandi manda,” katanya.

Wanita turut membantu dalam program berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Wanita turut membantu dalam program berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca

Dalam pada itu katanya, penduduk kampung berharap menerusi program yang dijalankan, ia dapat membuka mata agensi berkenaan untuk membantu penduduk kampung menyediakan kemudahan seperti tandas, surau dan sebagainya untuk pengunjung datang ke lokasi itu.

“Selama ini, penduduk mengambil inisiatif sendiri membuat ruang salinan menggunakan zink selain menaikkan khemah untuk kemudahan pengunjung bersolat.

“Tempat parkir juga dijaga secara sukarela oleh belia kampung. Kami harap agensi kerajaan dapat membantu penduduk kampung dalam memajukan tempat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 9:06 PM