PERNAH dikunjungi hingga 600 orang pada Februari lalu.
PERNAH dikunjungi hingga 600 orang pada Februari lalu.
Hafiz Ithnin


“SUNGAI Viral? Betul ke namanya?” Soal penulis kepada rakan setugas yang mengirimkan foto dan berita berkenaan lokasi berkenaan. Malah, dia juga yang baru mengunjungi kawasan itu memberitahu ia bukan sekadar sebuah lokasi yang tular dalam kalangan masyarakat setempat kerana keindahannya, malah turut sesuai untuk aktiviti rekreasi bersama keluarga. Kini ia menjadi destinasi baru masyarakat setempat mengadakan pelbagai aktiviti komuniti.

Sebenarnya nama sungai berkenaan ialah Sungai Kuala Muda dan diberikan nama baru sebagai Sungai Viral berikutan ia tular dalam kalangan masyarakat setempat untuk menyejukkan diri ketika musim panas pada awal tahun ini.

Melihat foto yang dikirimkan rakan setugas sememangnya wajar ia menjadi tular kerana kecantikan pemandangan yang masih hijau di kiri dan kanan sungai. Tambahan, kawasan yang sesuai untuk kanak-kanak bermandi-manda juga kelihatan agak selamat.

Teruja mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan Sungai Viral, penulis berkesempatan menghubungi Pengerusi Koperasi Wawasan Kampung Kuala Kerik, Asri Ahmad.

Menurut beliau, kawasan riadah itu sebenarnya baru ditemui anak-anak muda kampung pada awal tahun ini iaitu ketika musim panas melanda di kawasan utara.

Tambahnya, untuk lebih tepat Sungai Viral terletak di Kampung Kuala Kerik, Sik yang hanya mengambil masa satu jam pemanduan dari Alor Setar atau 30 minit dari Pekan Jeneri.

“Pada awalnya hanya anak muda kampung di kawasan ini yang menjadikan Sungai Viral sebagai tempat mereka meluangkan masa santai ketika musim kemarau. Kemudian dari masa ke masa mereka turut membersihkan kawasan ini untuk menjadikannya lokasi riadah yang lebih selesa.

“Apabila ia semakin sesuai untuk dikunjungi, pada sekitar Februari lalu kawasan ini makin ramai orang dari luar kampung mula berkunjung. Mungkin pada satu-satu masa boleh dikatakan sehingga 600 pengunjung datang ke sini,” katanya.

KAWASAN Sungai Viral yang sentiasa dijaga penduduk setempat.
KAWASAN Sungai Viral yang sentiasa dijaga penduduk setempat.

Asri berkata, menariknya Sungai Viral kerana kesesuaiannya untuk aktiviti berkelah bersama keluarga disebabkan terdapat lokasi yang tidak terlalu dalam untuk kanak-kanak mandi.

“Meskipun kerja membersihkan sekitar Sungai Viral dilakukan penduduk kampung, kami tidak mengubah struktur alam semula jadi seperti batu yang tersusun secara asli yang membentuk seperti air terjun mini.

“Selain itu, batu-batu semula jadi yang berada di sekitarnya juga agak unik dan cantik selain tidak berbahaya kepada orang ramai yang ingin mandi di kawasan sekitarnya,” katanya.

Tambahnya, memandangkan Sungai Viral semakin mendapat tempat dalam kalangan pengunjung luar, penduduk kampung juga menyediakan tempat persalinan dan surau.

“Kami juga dalam usaha bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menaik taraf lokasi ini sebagai destinasi riadah yang baru di Kedah. Pihak seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada juga berkunjung untuk membantu kami dalam hal ini.

PENDUDUK setempat menjalankan gotong-royong untuk program komuniti.
PENDUDUK setempat menjalankan gotong-royong untuk program komuniti.

“Pada masa depan, kami berharap Sungai Viral dapat menyediakan pelbagai kemudahan lain yang mampu memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang seperti tempat letak kereta yang baik,” katanya.

Beliau menambah, ketika musim kemarau pada awal tahun lalu, penduduk kampung juga dapat menambah pendapatan dengan membuka gerai jualan makanan dan minuman.

“Sekiranya kawasan ini dapat dinaik taraf sebagai destinasi pelancongan baru di Kedah, pastinya penduduk kampung dapat menerima limpahan ekonomi daripada aktiviti pelancongan.

“Selain itu, meskipun buat masa ini tidak ada pihak berkuasa yang membantu menaik taraf kemudahan, penduduk kampung sendiri melakukan kerja pembersihan dan menyediakan parkir kepada pengunjung tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Rakan setugas penulis juga memaklumkan, baru-baru ini kawasan itu turut menjadi kawasan penduduk setempat mengadakan acara yang dikenali sebagai Program Perkelahan Perdana Sungai Tular untuk komuniti setempat dengan menangkap ikan dan mengadakan kenduri.

Melihat foto yang dikirimkan beliau, agak lumayan juga hasil tangkapan ikan sungai seperti lampam yang berjaya dibawa naik dengan cara menjaring oleh penduduk setempat untuk dimasak.

AKTIVITI menjaring ikan di Sungai Viral dilakukan penduduk kampung.
AKTIVITI menjaring ikan di Sungai Viral dilakukan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 9:21 AM