MOHD Zani Che Din (kanan) mengetuai serbuan terhadap sindiket menjalankan kegiatan judi dalam talian. FOTO Ihsan Polis.
MOHD Zani Che Din (kanan) mengetuai serbuan terhadap sindiket menjalankan kegiatan judi dalam talian. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menumpaskan sindiket judi dalam talian dengan penahanan 25 individu warga China termasuk lima wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Ukay Heights, Ampang, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, seramai enam pegawai dan 10 anggota melakukan serbuan di lokasi itu pada 11.10 pagi tadi.

“Dalam serbuan ini, kami menahan 25 individu warga China berusia antara 18 hingga 45 tahun yang berasal dari daerah Jianxi dan Guizhou, China.

“Kami turut merampas satu set komputer yang dijadikan sebagai kawalan utama, 19 komputer riba, 74 telefon bimbit, dua rauter dan tiga modem dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ANTARA barang yang dirampas dalam serban. FOTO Ihsan Polis
ANTARA barang yang dirampas dalam serban. FOTO Ihsan Polis

Mohd Zani berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjalankan aktiviti promosi perjudian dan menganjurkan permainan judi serta pertaruhan dalam talian.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti pertaruhan dan promosi judi dalam talian di China menggunakan aplikasi Wechat dan ‘Text Messages’ (teks mesej).

“Siasatan juga mendapati sindiket ini turut menjalankan aktiviti pertaruhan judi dalam talian dengan memperdayakan sasaran mangsa di China bahawa ia senang dimain dan peluang untuk menang adalah tinggi menggunakan kod QR kepada pelanggan bagi mencuba nasib,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan itu sudah itu sudah beroperasi hampir tiga bulan dan premis hanya digunakan untuk tujuan transaksi perjudian yang dipercayai dari China dengan menggunakan mata wang negara berkenaan.

“Dianggarkan kutipan diperolehi sindiket itu menjalankan kegiatan ini adalah kira-kira RM135,000 sehari.

“Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siastaan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(a), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1969,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 5:25 PM