Sariman menunjukkan kesan paras air pada dinding kediamannya. FOTO Abnor Hamizan.
Sariman menunjukkan kesan paras air pada dinding kediamannya. FOTO Abnor Hamizan.
Abnor Hamizam Abd Manap


“BANJIR kali ini paling teruk dan tidak sangka air naik hingga ke paras pinggang dengan begitu panas. Jadi banyak barang tak sempat diselamatkan.

“Kira-kira 50 ekor puyuh dan lapan ekor ayam mati, peralatan elektrik, perabot serta kelengkapan persekolahan anak rosak ditenggelami air,” kata Sariman Pari, 42.

Kediaman Sariman antara yang terjejas dalam kejadian banjir di Kampung Dusat, Jempol, semalam.

Sariman berkata, hujan lebat bermula 5 petang dan pada 10 malam air sungai melimpahi tebing lalu memasuki rumahnya.

“Dalam masa 15 minit saja air sudah naik hingga paras pinggang, mujur kami sekeluarga sempat menyelamatkan diri.

“Kedudukan rumah berhampiran tebing menyebabkan saya kerap menjadi mangsa banjir kilat sebelum ini,” katanya.

Namun katanya, pada 2017 kerja menaik taraf tebing dilakukan dan sejak itu banjir sudah tidak berlaku.

“Saya sangka (banjir) sudah berakhir kerana sejak dinaik taraf sudah lama kawasan ini tidak dilanda banjir,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Sariman, kejadian banjir itu turut mengakibatkan tebing sungai berkenaan runtuh.

Katanya, sejak menetap di kampung itu pada 2009, banjir paling teruk dialami pada 2010 sehingga menyebabkan dia kerugian RM10,000.

Kejadian itu membantutkan perancangannya untuk menternak kambing, ayam dan puyuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:18 PM