KEADAAN tebing Sungai Sebaling yang runtuh selepas hujan lebat dan banjir.
KEADAAN tebing Sungai Sebaling yang runtuh selepas hujan lebat dan banjir.
Abnor Hamizam Abd Manap


PENDUDUK Kampung Dusat, di sini, berharap pihak berkaitan dapat membaik pulih tebing Sungai Sebaling yang runtuh akibat hujan lebat, baru-baru ini.

Sariman Pari, 42, berkata, kerja baik pulih tebing sungai itu perlu dilakukan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurutnya, kerajaan negeri pernah melaksanakan kerja menaik taraf tebing sungai itu pada 2017 dengan mendalam dan membaiki tebing.

“Saya mula tinggal di sini pada 2010 dan sejak itu terpaksa berdepan dengan banjir akibat limpahan air sungai.

“Namun ia berakhir apabila kerja naik taraf dilakukan dua tahun lalu.

“Malangnya ia runtuh semula akibat hujan lebat berterusan pada 1 April lalu.

Tidak sangka pula ia berlaku lagi dan bertambah teruk apabila tebing sungai berkenaan runtuh sehingga menyebabkan banjir mencecah paras pinggang.

“Saya tidak boleh berpindah ke tempat lain memandangkan ini sahaja rumah dan tanah peninggalan orang tua yang saya ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Terdahulu, Sariman menerima kunjungan Penyelaras Dewan Undangan Negeri Sungai Lui Zainal Fikri Abd Kadir yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian.

Zainal Fikri berkata, pihaknya sudah memaklumkan masalah itu kepada Pejabat Tanah dan Daerah Jempol untuk mengambil tindakan susulan mengatasinya.

Beliau berkata, sekiranya ada keperluan untuk membuat lencongan baru sungai itu, ia bergantung kepada keputusan agensi berkaitan.

“Kita berharap kerja baik pulih dapat dilakukan segera memandangkan tebing runtuh boleh menyebabkan air sungai melimpah dan berpotensi berlaku banjir kilat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:10 AM