Lokasi mayat ditemui di tepi kedai di Puchong hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Lokasi mayat ditemui di tepi kedai di Puchong hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“SAYA cuba angkat bungkusan itu untuk dimasukkan ke dalam lori namun tidak berdaya,” kata pekerja pembersihan yang menemui mayat tanpa identiti di Puchong hari ini.

Mayat tanpa identiti ditemui 8.30 pagi yang dibungkus dengan empat lapisan di tepi jalan yang dijadikan tempat pembuangan sampah haram.

Pekerja pembersihan yang enggan dikenali itu berkata, mayat berkenaan dibungkus dalam plastik hitam bersama tilam dan selimut.

“Saya mula bekerja 7.30 pagi dan tiba di kawasan itu 8 pagi sebelum melakukan kerja pembersihan.

“Selepas selesai membersih, saya mengangkat sampah yang dibersihkan itu ke dalam lori namun tidak berdaya mengangkat bungkusan hitam berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika itu terdapat pengawal keselamatan dan mereka bersama-sama memeriksa bungkusan berkenaan.

“Selepas diperiksa saya dapati satu mayat dibungkus sebelum menghubungi polis.

“Kira-kira 10 minit kemudian sepasukan peronda tiba dan menutup kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, mayat itu ditemui pekerja pembersihan ketika sedang melakukan kerja pembersihan di hadapan sebuah sekolah.

“Siasatan awal mendapati mayat itu ditemui dalam keadaan berbungkus di dalam plastik dan kain selimut.

“Mayat itu tanpa identiti dan polis masih menyiasat,” katanya.

Ismadi berkata, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dipanggil untuk melakukan siasatan lanjut.

“Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:14 PM