LAPORAN portal Harian Metro mengenai penemuan mayat dibungkus dalam plastik.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai penemuan mayat dibungkus dalam plastik.
Nurul Hidayah Bahaudin


MAYAT yang ditemui dalam keadaan berselimut dan dibungkus dengan plastik lut sinar berhampiran kedai di Bandar Kinrara di Puchong semalam, disahkan lelaki warga asing.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Serdang mendapati lelaki itu dipercayai meninggal dunia dua hingga tiga hari lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa cedera pada kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul dan disahkan sebagai punca kematiannya.

“Kami sudah menahan dua lelaki warga Bangladesh, masing-masing berusia 30-an di sekitar daerah ini, awal pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, kedua-dua suspek itu direman hingga 8 April bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya

Semalam, Harian Metro melaporkan penemuan mayat tanpa identiti ditemui 8.30 pagi di tepi jalan yang dijadikan tempat pembuangan sampah haram.

Berita berkaitan

Mayat dalam plastik hitam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 4:08 PM