Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: "Saya dengar bunyi atap zink seperti dipukul bertalu-talu," kata warga emas menceritakan detik cemas apabila kediaman mereka di Parit 12B Sungai Manik, di sini, dilanda ribut, semalam.

Ahmad Husin, 76, berkata, ketika kejadian kira-kira 5.30 petang, dia dan isteri, Amanah Umar, 70, sedang berehat di ruang tamu dikejutkan bunyi angin yang sangat kuat sebelum menyedari atap di bahagian beranda termasuk tiang tercabut dan diterbangkan ribut.

"Saya juga terdengar bunyi seakan-akan benda berat jatuh di atas rumah berdekatan dapur.

"Tidak lama kemudian saya menyedari atap dan tiang di beranda sudah diterbangkan dan tersangkut pada pokok di belakang rumah.

"Tiang utama beranda juga menghempap atap di dapur," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian turut menyebabkan atap di bahagian dapur dan stor tempat penyimpanan baja diterbangkan ribut.

Dia bagaimana bersyukur kerana mereka berdua tidak cedera.

Seorang lagi penduduk, Kamariah Husin, 63, berkata ketika kejadian, dia berada di rumah ditemani cucunya, Mohd Izad Mohd Syafie, 16, terkejut melihat atap bilik rumahnya tercabut dan dibasahi hujan.

"Mak cik dengan cucu cepat-cepat alihkan tilam dan barang, dalam hati rasa sedih sebab ini rumah peninggalan arwah suami.

"Malam tadi, mak cik menumpang tidur di rumah anak menantu di Tanjung Keramat sebab risau haiwan berbisa masuk ke rumah," katanya.

Kamariah berkata, ini kali pertama rumahnya terkesan dengan kejadian ribut sejak lebih 30 tahun tinggal di situ.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Rohaizat Hadli berkata, enam rumah di beberapa kawasan Sungai Manik mengalami kerosakan kerana kejadian ribut petang semalam.

"Kejadian berpunca daripada hujan lebat berterusan selama lebih dua jam bersama ribut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 11:26 AM
ENAM buah rumah di Sungai Manik terjejas apabila atap rumah diterbangkan ribut petang semalam. FOTO Muhamad Lokman Khairi
ENAM buah rumah di Sungai Manik terjejas apabila atap rumah diterbangkan ribut petang semalam. FOTO Muhamad Lokman Khairi