Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan imej seorang lelaki yang menunggang motosikal untuk melakukan kegiatan pecah tabung masjid dalam daerah Seberang Perai Utara. FOTO Ihsan PDRM
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan imej seorang lelaki yang menunggang motosikal untuk melakukan kegiatan pecah tabung masjid dalam daerah Seberang Perai Utara. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kegiatan seorang penganggur yang aktif memecah tabung masjid di daerah Seberang Perai Utara tumpas apabila dia ditahan di sebuah rumah di Taman Haji Md Amin, Permatang Pauh, awal pagi hari ini.

Lelaki berusia 20 tahun yang sudah berumahtangga itu ditahan pada 12.15 tengah malam susulan laporan dibuat jawatankuasa Masjid Pongsu Seribu, di sini, berhubung penemuan beberapa peralatan dan pita pelekat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ahli kariah yang mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan masjid menemui beberapa peralatan dan pita pelekat kira-kira 10 pagi Jumaat lalu.

"Mereka mengandaikan peralatan dan pita pelekat itu dipercayai digunakan untuk mencuri duit tabung di ruang solat tambahan pula kejadian seumpama itu beberapa kali sudah berlaku.

"Berikutan itu, mereka menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ternampak imej seorang lelaki yang menunggang motosikal masuk ke dalam kawasan masjid terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian mengambil wang dengan cara memancing menggunakan pelekat dari dua tabung sebelum melarikan diri.

Katanya, hasil maklumat, polis berjaya menjejaki keberadaan suspek dan membuat tangkapan ke atas lelaki itu dalam Op Cantas Khas.

"Dalam serbuan itu, polis merampas motosikal yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayahnya, dawai, pakaian, selipar dan serangkai kunci.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan kegiatan itu secara berseorangan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, pihaknya percaya berkaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes kecurian tabung masjid di daerah ini dengan tertangkapnya lelaki terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 2:28 PM