Noorokiah dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menipu beberapa individu berhubung tempahan barangan membabitkan kerugian melebihi RM250,000 di Mahkamah Majistret Batu Gajah. FOTO Abdullah Yusof
Noorokiah dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menipu beberapa individu berhubung tempahan barangan membabitkan kerugian melebihi RM250,000 di Mahkamah Majistret Batu Gajah. FOTO Abdullah Yusof
Wan Asrudi Wan Hasan


Batu Gajah: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tujuh tuduhan menipu tiga ahli perniagaan membabitkan kerugian keseluruhan lebih RM250,000 tahun lalu.

Norrokiah Ishak, 65, dari Bukit Merah, Semanggol, Taiping, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Bagi tiga pertuduhan pertama, dia didakwa memperdaya Mahfuz Opir dan tidak membayar baki jumlah keseluruhan sebanyak RM62,708.80 ke atas daging sejuk beku yang dibekalkan kepadanya di Syarikat Boon Foong Trading, di sini.

Tiga kesalahan itu masing-masing dilakukan pada 8.30 malam, 7 Disember 2016, 1 tengah hari keesokannya dan 5.30 petang, 10 Disember 2016.

Bagi pertuduhan keempat, kelima dan keenam, dia didakwa melakukan kesalahan sama ke atas Yusof Othman membabitkan perbekalan daging sejuk beku dan ayam kampung dengan jumlah bayaran melalui cek yang keseluruhannya berjumlah RM178,689.

Kesalahan itu dilakukan di Stor Sejuk Beku No 223 dan 221 Jalan Pusing, di sini, pada 23 dan 26 Februari serta 1 Mac tahun sama.

Pertuduhan terakhir, Norrokiah didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Ahmad Rushdan Abdul Razak membabitkan bekalan pek burung puyuh sejuk beku bernilai RM9,700 pada jam 10 malam di premis perniagaan di No 233, Jalan Pusing, di sini, pada 12 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh diwakili Mohd Aidil Arshad dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 4:03 PM