GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


HASRAT guru di Raub membuat pinjaman wang berjumlah RM10,000 bukan saja tidak kesampaian malah kerugian RM10,640 selepas diperdayakan sindiket pinjaman tidak wujud, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 26 tahun pada mulanya tertarik dengan iklan pinjaman peribadi yang dipromosikan di Instagram.

“Mangsa meninggalkan butiran di ruangan komen sebelum dihubungi suspek lelaki yang menyatakan dia layak membuat pinjaman sebanyak RM10,000 dengan bayaran bulanan RM174 selama 84 bulan.

“Bagi tujuan berkenaan, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran termasuk untuk deposit, bayaran kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan bayaran pendahuluan.

“Mangsa membuat pindahan wang lebih 10 kali ke dalam akaun yang diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,640,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, kelmarin dan polis sudah merakam percakapan mangsa untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang peniaga turut ditipu sindiket pinjaman tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian RM6,450.

“Kejadian pada 3 Julai lalu apabila mangsa melayari sebuah laman web dan berminat membuat pinjaman sebanyak RM50,000 kerana mahu mengubahsuai butik pengantin miliknya.

“Mangsa yang tinggal di daerah ini dihubungi suspek dan ditawarkan pinjaman sebanyak RM30,000 saja kerana pendapatan bulanan yang tidak tetap,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pembayaran cagaran dan pembayaran untuk enam bulan dengan jumlah keseluruhan RM6,450 ke dalam satu akaun diberikan suspek.

“Mangsa diminta membuat lagi pembayaran wang kopi, namun dia tidak melakukannya sebelum membuat laporan polis di IPD Kuantan, kelmarin.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 1:19 PM