Zanariah Abd Mutalib


DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan penjawat awam supaya tidak mensabotaj kerajaan, selain menjaga batas perhubungan dalam komunikasi serta patuh kepada etika penggunaan media sosial.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam usaha memanfaatkan media sosial sebagai ejen penyampai maklumat dan promosi perkhidmatan kepada masyarakat, masih ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan medium itu.

“Ada pihak yang menyebar maklumat atau melempar tuduhan serta kritikan kepada kerajaan secara melulu.

“Kita juga sedar, ada dalam kalangan penjawat awam yang mewarisi sokongan kerajaan lama. Kita faham dan hormati pendirian politik masing-masing.

“Bagaimanapun saya ingin mengingatkan supaya jangan ada unsur sabotaj. Kita boleh berbeza fahaman politik, namun untuk berkhidmat kepada rakyat, kita tidak wajar menggunakan perbezaan kelompok, kaum dan agama sebagai penghalang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 bagi kementerian itu di Putrajaya, hari ini.

DR WAN AZIZAH menyampaikan anugerah kepada penerima kepada penerima istimewa OKU Abdul Razak Abdul Majid (kanan). -FOTO Luqman Hakim Zubir
DR WAN AZIZAH menyampaikan anugerah kepada penerima kepada penerima istimewa OKU Abdul Razak Abdul Majid (kanan). -FOTO Luqman Hakim Zubir

Dr Wan Azizah turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak sesekali membalas kritikan netizen dengan bahasa yang kurang sopan di media sosial, walaupun untuk tujuan mempertahankan diri.

“Imej kerajaan, kementerian dan seluruh agensi hendaklah sentiasa dipelihara. Sama-sama kita cerminkan keperibadian kita dengan asas yang digariskan agama,” katanya.

Selain itu, Dr Wan Azizah juga mahu penjawat awam terutama warga kementerian itu supaya terus memberikan komitmen, meningkatkan produktiviti dan mutu kerja berkualiti tinggi.

“Kita harus menyahut cabaran ini dengan mewujudkan persaingan sihat bagi membuktikan keupayaan masing-masing, yang secara tidak langsung akan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 11:38 AM