DR Wan Azizah Wan Ismail. FOTO arkib NSTP
DR Wan Azizah Wan Ismail. FOTO arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


TIMBALAB Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengekalkan keamanan dan ikatan persahabatan yang sedia ada dalam kalangan pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Dalam perutusan Hari Krismas yang akan disambut esok, Wan Azizah juga meminta rakyat supaya mengambil berat terhadap golongan miskin, uzur, terpinggir dan mereka yang memerlukan tempat untuk berteduh.

"Marilah kita sama-sama terus menunjukkan rasa hormat, persefahaman dan perasaan sayang dalam kalangan kita, rakyat Malaysia.

"Ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah dirobohkan. Bersatu teguh, bercerai roboh.

"Anggaplah perutusan ini sebagai kad Hari Krismas peribadi saya kepada setiap rakyat yang menyambut Hari Krismas tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Wan Azizah juga mahu rakyat menumpukan kepada perkara positif, yang sebenarnya kata beliau lebih banyak daripada yang negatif.

"Islam mengajar kita supaya bertoleransi di antara satu sama lain.

"Dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9, Allah ta’ala menganjur umat Islam supaya berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam yang tidak bermusuhan dengan umat Islam.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita amat beruntung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 11:04 AM