DIFTERIA yang disebabkan jangkitan bakteria.
DIFTERIA yang disebabkan jangkitan bakteria.
BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga lagi kes difteria di Johor setakat semalam.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat tahun serta seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Katanya, kanak-kanak perempuan itu adalah kakak kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat penyakit berkenaan pada 23 Februari lalu dan kesemua mereka yang jangkiti tinggal di rumah sama.

“Kesemua kes sudah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil. Satu kes sudah dibenarkan pulang, manakala dua lagi kes masih dirawat di hospital,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sebulan meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan difteria.

Dr Noor Hisham berkata, lapan lagi yang tinggal serumah dengan kes kematian dan tidak bergejala juga diberi rawatan antibiotik sebagai profilaksis (pencegahan).

“Keadaan kesihatan mereka dipantau secara harian oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru selama 14 hari. Tiada kes baharu dilaporkan dan kejadian adalah terkawal.

“Susulan kejadian wabak difteria di Johor ini, KKM ingin menegaskan kepentingan pemberian imunisasi bagi mencegah penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin seperti difteria, demam campak, batuk kokol dan lain-lain,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penyakit itu amat mudah merebak dan kanak-kanak berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Katanya, pemberian vaksin kepada kanak-kanak membantu tubuh mereka membina antibodi yang boleh melawan kuman penyebab penyakit dan memberi perlindungan daripada jangkitan.

“Sekiranya seseorang yang menerima vaksin dijangkiti kuman penyebab penyakit berkenaan, gejala yang dialami adalah ringan.

“Namun, seseorang yang tidak divaksinkan bukan sahaja mudah dijangkiti, tetapi turut berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi jangkitan yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ dan juga kematian,” katanya.

Beliau turut menyeru ibu bapa supaya sentiasa memastikan anak mereka mendapatkan imunisasi mengikut jadual ditetapkan KKM.

Menurutnya, bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, perkhidmatan imunisasi juga boleh didapatkan daripada fasiliti kesihatan terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 2:54 PM