Jangkitan difteria pada tekak dan gambar kanan, bakteria Corynebacterium Diphteriae punya penyakit itu. - Foto healthline.com/Alain Grillet
Jangkitan difteria pada tekak dan gambar kanan, bakteria Corynebacterium Diphteriae punya penyakit itu. - Foto healthline.com/Alain Grillet

Kuala Lumpur: Dua kematian disyaki akibat jangkitan difteria dengan masing-masing satu kematian di Melaka pada Sabtu lalu, dan Kedah, pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kes kematian itu tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.

Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun berasal dari Ujong Pasir, Melaka, meninggal dunia di Hospital Melaka, Sabtu lalu, akibat dijangkiti bakteria difteria.

"Pesakit yang meninggal dunia di Hospital Melaka dirujuk Klinik Kesihatan Ujong Pasir pada 16 Jun dengan sejarah demam selama lapan hari dan batuk, sakit tekak, sukar menelan, kurang selera makan serta leher bengkak selama tiga hari.

"Ujian sampel swab tekak disahkan positif difteria pada 20 Jun oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur. Sementara pesakit

kanak-kanak warga asing yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar belum diketahui keputusan ujian,” kata Noor Hisham dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, tindakan kawalan masih dijalankan di rumah pesakit, tadika, sekolah dan kawasan kejiranan bagi mengesan kontak rapat bagi kedua-dua negeri terbabit.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ghazali Othman berkata, lebih 40 orang yang mengenali mangsa di Melaka, sudah diperiksa bagi mengesan penyakit berbahaya itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, dua beradik murid berkenaan disahkan positif difteria manakala yang lain negatif.

"Adik beradik itu dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan mereka berada dalam keadaan baik, tiada komplikasi akibat penyakit itu.

"Selain anggota keluarga murid, kita juga memeriksa rakan serta membuat pemeriksaan di sekolahnya," katanya di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Difteria itu boleh dicegah dengan mengambil suntikan imunisasi yang disediakan Kementerian Kesihatan dengan lima suntikan vaksin itu diberi pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan sebelum suntikan terakhir ketika berumur 15 tahun.

Berita berkaitan: Imunisasi vaksin lima serangkai elak difteria

http://www.hmetro.com.my/node/147234

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 11:33 PM