16 INDIVIDU ditahan ketika leka berjudi dalam serbuan yang dijalankan di sebuah premis, semalam. -Foto Ihsan PDRM
16 INDIVIDU ditahan ketika leka berjudi dalam serbuan yang dijalankan di sebuah premis, semalam. -Foto Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini

KOTA TINGGI: Sisi gelap sebuah salun di Sungai Rengit, di sini, terbongkar apabila serbuan polis awal pagi semalam menyaksikan 16 individu termasuk seorang wanita ditahan kerana berjudi.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, pada jam 3 pagi.

Pegawai Turus D7 IPK Johor, Deputi Superintendan Mohd Zairi Badderul @ Badrol berkata, serbuan membabitkan seramai 24 anggota termasuk pegawai itu, berjaya menahan semua warga tempatan berusia 21 hingga 71 tahun.

Katanya, risikan mendapati mereka bermain judi tong kaw itu sejak sembilan hari lalu, selain menjadikan premis salun itu sebagai gelanggang.

“Siasatan awal mendapati, sindiket perjudian menggunakan kepingan cip dan wang tunai sebagai nilai pertaruhan,” katanya, semalam.

Mohd Zairi berkata, berikutan itu, pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM67,314, Dolar Singapura (SGD) 1,000 (RM2,994.47), meja kayu, 10 kerusi, dua dadu kecil, 16 batu mahjong, 38 cip bernilai RM1,000 setiap satu.

Katanya, turut dirampas, enam cip bernilai RM5,000 setiap satu, 38 keping cip bernilai RM100 setiap satu, satu set dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dan satu beg galas.

“Nilai pertaruhan keseluruhan perjudian ini dianggarkan RM139,114 dan semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan jika didapati bersalah, pemain perjudian boleh dihukum denda tidak melebihi RM 2,000.

“Manakala penganjur perjudian disiasat mengikut Seksyen 4(1)a atau Seksyen 4(1)b Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 kerana membenarkan permainan judi dimainkan dalam rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 9:56 AM