Azrul Nizam  memasang drip  kepada ibunya yang   menghidap sakit buah pinggang.
Azrul Nizam memasang drip kepada ibunya yang menghidap sakit buah pinggang.
Zuliaty Zulkifli


YAN: Seorang pemuda mengambil keputusan berhenti kerja selepas keadaan kesihatan ibunya, Fatimah Ariffin, 64, yang menghidap penyakit buah pinggang semakin merosot sejak tiga tahun lalu.

Azrul Nizam Azali, 27, dari Kampung Tengah Kuala Sungai di sini, sebelum ini bekerja di syarikat cari gali minyak di Terengganu, nekad meletakkan jawatan dan tinggal di kampung demi menjaga ibunya.

Menurutnya, sejak itu dia belajar cara membuat kek dan biskut melalui Internet selain mengikuti kelas masakan bagi menjana pendapatan.

“Apabila mahir, saya mempromosikan perniagaan kek secara dalam talian walaupun pada mulanya malu kerana bimbang tiada pelanggan.

“Alhamdulillah kini saya mampu menjadikan perniagaan kek sebagai punca pendapatan bagi membiayai perubatan emak di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya di rumahnya di sini, semalam.

Azrul Nizam anak keenam dari tujuh beradik itu berkata, dia menjadikan bilik di tingkat bawah rumahnya sebagai tempat simpanan ubat ibunya yang kelihatan seperti mini klinik.

Azmaruddin terlantar kerana diabetes.
Azmaruddin terlantar kerana diabetes.

Lebih memilukan apabila abang kelimanya, Azmaruddin, 29, yang menghidap kencing manis kronik juga terlantar selepas terjatuh ketika memasang langsir sekitar Oktober tahun lalu.

Katanya, kakak iparnya, Siti Aminah Ishak, 28, tidak bekerja dan ada dua anak, Muhammad Adiy Wafii, 8, dan Muhammad Azam Qhalif, 5, yang bersekolah.

Menurutnya, adik-beradiknya yang lain sudah berkeluarga dan hanya membantu mengikut kemampuan, manakala adik bongsu masih belajar.

“Saya tak sanggup lihat penderitaan abang yang sebelum ini menyara keluarga dengan berniaga aksesori telefon bimbit secara bergerak.

“Sejak dia sakit, mereka hilang sumber pendapatan. Jadi saya berkorban membantu keperluan rawatan mereka mencecah RM1,000 sebulan,” katanya.

Azrul Nizam berkata, ketika abangnya mula-mula sakit, doktor membuang lapan liter nanah di paha dan kaki kiri selain tangan kanan akibat diabetes di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Katanya, abangnya perlu menjalani rawatan susulan secara mingguan di HSAH serta rawatan fisioterapi di Hospital Yan untuk memulihkan pergerakannya.

“Abang bergerak dengan kerusi roda dan perlu penjagaan rapi untuk menguruskannya.

“Saya harap menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk meringankan beban kerana ayah ( Azali Md Zain, 68) juga tidak lagi bekerja,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan dengan menghubungi Azrul Nizam di talian 017-4264852 atau akaun Maybank miliknya, 152125185346.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 10:12 AM