Mohd Zulkifli Zainuddin


PAS meminta kerajaan mengkaji semula pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kerana akan mewujudkan tohmahan daripada masyarakat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta semua pihak bersangka baik memandangkan pelantikan itu dibuat berdasarkan kelayakan, namun masyarakat memandang perkara berkenaan dari sudut berbeza.

Beliau berkata, jawatan dalam YADIM sepatutnya bukan dilantik dalam kalangan ahli politik seperti zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Walaupun ADUN itu beragama Islam, namun isunya beliau dari DAP. Dalam perlembagaan DAP, mereka mempertahankan negara sekular dan banyak menentang agenda Islam.

“Macam mana nak bersangka baik kalau tindakan itu sendiri mewujudkan tohmahan. Jadi kita rasa tidak sesuai seorang wakil rakyat DAP berada dalam YADIM walaupun beragama Islam.

“Sepatutnya YADIM mestilah diduduki oleh mereka yang tidak nampak jalur politik. Ketika zaman BN, orang yang aktif dalam parti tidak berada YADIM,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri, di Kota Bahru hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Mujahid mengesahkan pelantikan Sheikh Omar sebagai anggota lembaga pemegang amanah YADIM dan pelantikan itu tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi kerana pemilihannya dibuat berdasarkan kelayakan dimilikinya.

Ditanya mengenai hubungan dengan UMNO, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, kerjasama dengan parti itu hanya dibuat berdasarkan keperluan dan keadaan semasa seperti Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kerjasama kita (UMNO-PAS) setakat kepada PRK saja dan kalau tiada PRK mungkin tiada apa-apa (hubungan). Cuma untuk masa akan datang kita tidak tahu lagi apa akan berlaku.

“Jadi tindakan kita ini adalah sebahagian daripada mengikut perkembangan kerana kita ada perancangan jangka masa panjang dan dasar kita sendiri. Macam hari ini, kita ada keperluan untuk kerjasama dalam PRK saja,” katanya.

Berita berkaitan

ADUN DAP berkelayakan - Mujahid

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 2:54 PM