Garret Dawum


“KONTROVERSI tidak sepatutnya ditimbulkan mengenai pelantikan Sheikh Omar Ali sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hanya kerana beliau ahli DAP,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, Sheikh Omar adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

"Jika individu dilantik itu bukan beragama Islam, maka pertikaian yang ditimbulkan UMNO, PAS dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mungkin boleh difahami.

"Apa masalahnya beliau dilantik kecualilah pelantikan itu dikaburi oleh kepentingan politik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Bazar Tahun Baru Cina 8TV di perkarangan tempat letak kereta Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak.

Bazar bermula 13 hingga 31 Januari itu dipersembahkan oleh 8TV dengan penganjuran oleh Build Up Resources (BUR) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Kira-kira 400,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan agama hadir memeriahkan bazar terbabit, selain 150,000 pengunjung meluangkan masa melawat Blossom Wonderland yang disediakan.

Menurut Lim, pertikaian yang ditimbulkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh itu sebagai serangan politik semata-mata.

"Saya rasa tak payah buang masa layan pandangan sebegini. Sheikh Omar ini ahli Exco kerajaan negeri Johor dan juga seorang graduan agama.

"Jika dia boleh dilantik sebagai Exco yang diperkenan oleh Sultan Johor, kenapa tidak boleh dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah mana-mana pertubuhan Islam," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan menyifatkan pelantikan Sheikh Omar itu menggambarkan institusi Islam mula dirobek kerajaan yang didominasi DAP, manakala Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula mendakwa YADIM bakal dicorakkan DAP.

Terdahulu, dalam ucapannya, Lim yakin ekonomi akan bertambah baik pada masa depan serta rakyat akan mendapat manfaat hasil pentadbiran kerajaan yang bersih.

"Kerajaan ini tidak mencuri duit rakyat, sebaliknya rakyat yang akan dapat duit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:04 PM