MOTOSIKAL dinaiki anggota URB yang dilanggar lari kenderaan di Jalan Besar Desa Ria, Gombak. FOTO ihsan Polis
MOTOSIKAL dinaiki anggota URB yang dilanggar lari kenderaan di Jalan Besar Desa Ria, Gombak. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA cedera termasuk seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) selepas dilanggar kenderaan ketika melakukan pemerikaaan di Jalan Besar Desa Ria, Gombak, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12 tengah malam itu, mangsa, Koperal Mohammad Firdaus Alias, 30, cedera di tangan dan kaki, selain penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan bagi pemeriksaan akibat dilanggar sebuah kenderaan tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketika kejadian, anggota terbabit bersama seorang lagi rakan setugasnya sedang melakukan rondaan di kawasan Bandar Country Homes, Rawang.

"Ketika membuat rondaan di Jalan Besar Desa Ria, anggota berkenaan menahan Honda EX5 dinaiki dua lelaki yang tidak memakai topi keledar serta memasang lampu mata arah sebelum mengarahkan mereka berhenti untuk membuat pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan di Gombak, hari ini.

Samsor berkata, ketika anggota itu turun dari motosikal URB menghala ke arah motosikal terbabit, sebuah kenderaan datang dari belakang merempuh motosikalnya.

"Kenderaan itu kemudian terus memecut laju untuk melarikan diri. Rakan setugasnya cuba mengejar kenderaan itu, namun tidak berjaya menahan kenderaan terbabit.

"Pelanggaran itu menyebabkan anggota terbabit cedera ringan di bahagian kaki dan tangan, manakala penunggang dan pembonceng motosikal Honda EX5 berkenaan turut luka dalam kemalangan itu," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan motosikal dinaiki anggota URB berkenaan mengalami kerosakan di bahagian belakang dan sisi kanan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 3:09 PM