MOHAMAD Ariff, Mohd Rashid serta Suhaizan (dua kanan) melihat Cokmar Dewan Negara dan Cokmar Dewan Rakyat pada Pameran Demokrasi Berparlimen. FOTO Farid Noh
MOHAMAD Ariff, Mohd Rashid serta Suhaizan (dua kanan) melihat Cokmar Dewan Negara dan Cokmar Dewan Rakyat pada Pameran Demokrasi Berparlimen. FOTO Farid Noh
Mohamed Farid Noh


“SAYA belum terima notis atau surat daripada Ahli Parlimen yang umum jadi bebas atau lompat parti setakat ini,” kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Katanya, beliau hanya tahu terdapat beberapa Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sebagai Ahli Parlimen Bebas dan keluar parti tertentu hanya menerusi media.

“Setakat ini saya tiada senarai Ahli Parlimen yang isytihar bebas atau melompat ke parti lain kerana belum menerima surat, notis atau dokumen bertulis daripada mereka seperti dipaparkan media.

“Parlimen atau saya hanya dapat mengesahkan perkara ini bila kami mendapat dokumen bertulis daripada mereka (Ahli Parlimen keluar parti).

“Mungkin masih awal lagi kerana sesi Dewan Rakyat tahun depan hanya akan bermula pada Mac... Sekiranya benar, Setiausaha Parlimen akan menentukan semula tempat duduk mereka (Ahli Parlimen keluar parti) di dalam dewan ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Parlimen dan Pameran Demokrasi Berparlimen anjuran Parlimen Batu Pahat di Dewan Jubli Intan, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat dan Timbalan Speaker DUN Johor, Gan Peck Cheng serta Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Pada 14 Disember lalu, enam Ahli Parlimen UMNO mengisytiharkan meninggalkan parti keramat Melayu itu berkuat kuasa hari berkenaan.

Ia membabitkan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz

Terdahulu, Mohamad Ariff merasmikan program berkenaan yang pertama kali pernah dianjurkan Parlimen bagi mendekati rakyat sekali gus memberi pemahaman fungsi sebenar institusi berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata, pihaknya tidak akan memperkenalkan peraturan baharu bagi mengawal selia kelakuan Ahli Parlimen yang bersidang di Dewan Rakyat.

“Peraturan sedia ada mencukupi untuk mengawal selia Dan mendisiplinkan Ahli Parlimen.

“Cuma perlu dikenakan penalti lebih tegas untuk kawal Ahli Parlimen antaranya mengusir keluar jika mereka terus berdegil dan melakukan provokasi melampau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 6:58 PM