Wakil rakyat pembangkang dari BN bangkit meninggalkan Sidang Dewan Rakyat sebagai membantah keputusan Mohamad Ariff.
Wakil rakyat pembangkang dari BN bangkit meninggalkan Sidang Dewan Rakyat sebagai membantah keputusan Mohamad Ariff.
Ahmad Suhael Adnan


AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) keluar dari Dewan Rakyat beramai-ramai hari ini sejurus sebelum rehat tengah hari.

Tindakan pembangkang itu adalah sebagai membantah keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof melarang Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh berada dalam Dewan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dimenangi BN terbatal dan tidak sah selepas didapati wujud amalan rasuah yang diketahui serta mendapat keizinan Sivarraajh.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan Speaker yang mahukan keputusan bertulis mengenai status Sivarraajh adalah tidak adil kerana ia memerlukan masa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Ahli Parlimen BN memprotes keputusan itu kerana berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), seseorang Ahli Parlimen yang diisytiharkan melakukan kesalahan berhak berada dalam Dewan Rakyat sehingga tempoh mengemukakan rayuan selama 14 hari berakhir.

“Jika lihat Perkara 36(a)(2) Akta 5, hakim Mahkamah Pilihan Raya hanya akan mengambil sesuatu keputusan muktamad jika tiada rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari.

“Jika notis rayuan difailkan, beliau (Sivarraajh) sepatutnya layak berada dalam persidangan Dewan Rakyat sehingga mahkamah membuat keputusan.

“Kami menuntut Speaker menarik balik keputusan itu. Jika beliau melakukan kesilapan, akuilah dan kami akan maafkan.

“Speaker perlu adil kepada kedua-dua pihak. Dalam hal ini, kami Ahli Parlimen BN tidak menegakkan benang yang basah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabril Yaakob; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.

Semalam, Mohamad Ariff mengarahkan Sivarraajh keluar Dewan Rakyat dan mahu wakil BN daripada MIC itu mendapatkan pengesahan sama ada beliau diberi penangguhan, susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangannya pada PRU-14.

Ia selepas RSN Rayer (PH DAP-Jelutong) tiba-tiba bangun dan mempersoalkan kehadiran Sivarraajh di dalam Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid berkata, peguam Sivarraajh sudah berjumpa dan memberi penjelasan kepada Mohamad Ariff semalam, khususnya mengenai peruntukan dalam Akta 5 dan ia sepatutnya cukup untuk Speaker menarik balik keputusan itu.

“Saya harap kesilapan ini tidak akan dijadikan panduan mengulangi kesalahan sama dalam persidangan atau penggal akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 3:13 PM