Rina menegaskan Waytha Moorthy mesti buat sesuatu berkaitan segala rasa tidak puas hati rakyat.
Rina menegaskan Waytha Moorthy mesti buat sesuatu berkaitan segala rasa tidak puas hati rakyat.
Rohaniza Idris dan Esther Landau

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy perlu mengambil iktibar dan mendengar suara rakyat termasuk memohon maaf bagi meredakan keadaan berikutan pelbagai desakan peletakan jawatannya.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Harun berkata, langkah terbaik yang boleh dilakukan Waytha Moorthy adalah mendengar dan melihat setiap pandangan yang dibuat oleh orang ramai dalam isu berkenaan.

“Saya berpandangan itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad),” katanya dalam sesi wawancara khas sempena Perhimpunan Agung BERSATU di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya,hari ini.

Hari ini pelbagai organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatannya kerana gagal menyelesaikan dan menangani isu rusuhan yang berlaku di kuil Sri Mariamman Subang Jaya, bulan lalu.

Sebelum ini, beberapa NGO membuat petisyen bagi mengumpul tanda tangan mendesak Senator itu meletakkan jawatan berikutan kematian anggota Bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akibat tragedi rusuhan berkenaan.

Rina berkata, kuasa mengenai lantikan menteri adalah kuasa Perdana Menteri, justeru perkara itu perlu diputuskan olehnya.

“Pada saya Waytha Moorthy sendiri perlu melakukan sesuatu berhubung desakan itu,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kemasukan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai ahli BERSATU, katanya beliau dimaklumkan Setiausaha Agung BERSATU bahawa Ahli Parlimen Masjid Tanah itu sudah diterima masuk sebagai ahli.

“Memandangkan beliau baharu saja mendaftar sebagai ahli kami ada menjemput beliau menghadiri Persidangan Srikandi sempena Perhimpunan Agung BERSATU sebagai pemerhati,” katanya.

Ditanya sama ada beliau tidak rasa tergugat dengan kemasukan Mas Ermieyati itu, katanya dalam negara yang mengamalkan demokrasi, kemasukan mana-mana ahli dialu-alukan walaupun bukan semua pemimpin UMNO diterima masuk.

“Saya tidak rasa tergugat, perkara yang baik perlu diterima dan yang tidak baik kita elakkan, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 7:25 PM