ANGGOTA Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berjaya menahan penagih dadah dalam satu operasi di sekitar Bekenu, di Miri. FOTO Norsyazwani Nasri
ANGGOTA Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berjaya menahan penagih dadah dalam satu operasi di sekitar Bekenu, di Miri. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


IBU yang menghitung hari bersalin dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Miri, kerana menagih syabu.

Ketua Cawangan AADK Miri, Mazlan Jikran berkata, turut ditahan 13 individu lain kerana positif syabu termasuk tiga beradik dalam operasi di sekitar Bekenu, Selasa lalu.

“Dalam operasi bermula 9 malam hingga 4 pagi (Rabu), pihak kami menjalankan serbuan di enam kampung di sekitar Bekenu membabitkan Kampung Kuala Sibuti, Kampung Padang Kelulit, Kampung Tunah Tiris, Kampung Masjid Tiris, Kampung Bulau dan Kampung Keluru Tengah.

“Keseluruhannya, seramai 21 individu diperiksa dan 13 didapati positif syabu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mazlan berkata, daripada 13 individu positif syabu, 11 adalah lelaki, manakala dua wanita termasuk seorang ibu sarat mengandung.

“Kesemua mereka berusia antara 21 hingga 63 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan ) 1983 kerana disyaki penagih dadah,” katanya.

Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 6 (1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seskyen 6 (1) (b) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 2:57 PM