SYED Izz Zahiruddin (berkerusi roda) bersama isteri, Nur Najihah Mohamad pada Majlis Walimatulurus Perdana 2018. FOTO Ghazali Kori
SYED Izz Zahiruddin (berkerusi roda) bersama isteri, Nur Najihah Mohamad pada Majlis Walimatulurus Perdana 2018. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman


“ALHAMDULILLAH, dengan menyertai program ini, bolehlah kami gunakan wang simpanan untuk pergi melancong dan berbulan madu,” kata Syed Izz Zahiruddin Syed Kamaruddin, 25, yang dinikahkan dengan pasangannya, Nur Najihah Mohamad, 24, dalam Majlis Walimatulurus Perdana 2018 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, hari ini.

Syed Izz yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mempunyai masalah kekejangan tangan dan kaki berkata, pada awalnya dia dan Nur Najihah bercadang menamatkan zaman bujang mereka pada Februari depan selepas lima tahun berkenalan.

Bagaimanapun katanya, mereka tertarik dengan program perkahwinan perdana itu yang sekali gus membantu mereka menjimatkan belanja dan kos perkahwinan.

“Sebenarnya saya sudah menyimpan wang cukup untuk majlis perkahwinan kami tahun depan, tapi kemudian memilih mempercepatkan tarikh pernikahan dengan menyertai program ini.

“Duit yang sudah disimpan itu akan saya gunakan untuk tujuan lain termasuk pergi melancong kerana isteri pun memang suka sangat melancong,” katanya yang berasal dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Nur Najihah pula berkata, mereka mula berkenalan melalui Facebook lima tahun lalu dan menjalin hubungan cinta selepas tiga tahun mengenali hati budi masing-masing.

“Saya selesa dan senang dengan sikapnya yang ramah. Sebab itu apabila dia meluahkan cintanya, saya terima dengan mudah,” kata anak jati Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu itu.

Majlis Walimatulurus Perdana 2018 peringkat Marang itu berlangsung dalam suasana meriah apabila 31 pasangan dinikahkan beramai-ramai dan diraikan tetamu termasuk Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain Marang, program kali ketiga itu diadakan serentak di semua tujuh daerah lain membabitkan keseluruhan pasangan cecah 190 orang, dengan kos keseluruhan sebanyak RM800,000.

Dalam pada itu di Hulu Terengganu, Nur Nadiah Mohd, 22, yang berasal dari Kampung Payang Kayu, bersyukur selamat disatukan dengan pasangannya, Mohamad Farith Ibrahim, 28, yang lumpuh bahagian kaki selepas terbabit kemalangan lapan tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kami selamat dinikahkan dan lebih manis ia diadakan secara percuma kerana ditanggung kerajaan negeri.

“Wang simpanan yang sepatutnya digunakan untuk majlis kenduri bolehlah saya gunakan untuk keperluan kami terutama selepas mengikut suami yang bertugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya,” katanya yang berhasrat membuka kedai jahit di sana (Putrajaya) nanti.

Foto Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 5:47 PM