Mohd Zul Firdaus dan Sarah bergambar selepas disatukan di Pejabat Agama Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Zul Firdaus dan Sarah bergambar selepas disatukan di Pejabat Agama Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh


"ALHAMDULILLAH, pernikahan ini selesai," kata Mohd Zul Firdaus Faizul Ariffin, 22, yang lega pernikahannya akhirnya dilangsungkan hari ini selepas terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Pekerja swasta itu, diijabkabulkan dengan pasangannya, Sarah Abd Khalid, 22, di Pejabat Agama Johor Bahru dengan lancar dan tidak mengambil masa lama.

Katanya, akad nikah mereka bersama kenduri sepatutnya berlangsung 18 April lalu tetapi dibatalkan kerana PKP.

"Kami juga bersyukur kerana syarikat perunding perkahwinan yang dilantik memulangkan semula bayaran yang sudah dibuat.

"Sebagai langkah berjimat, kami hanya bercadang membuat kenduri untuk ahli keluarga sahaja selepas PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) selesai," katanya ketika ditemui di perkarangan Pejabat Agama Johor Bahru.

Rabu lalu, Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) membenarkan akad nikah dalam tempoh PKPB dilangsungkan dengan prosedur standard operasi (SOP) tertentu, mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi dilaporkan berkata, ia dihadkan kepada enam orang membabitkan tiga daripada keluarga pengantin dan tiga lagi pihak urus setia pada upacara terbabit.

Selain itu, mereka yang hadir dikehendaki memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan mengamalkan penjarakan sosial.

Sementara itu, Mohamad Akmal Adli Mohamad Aseri, 32, dan pasangannya, Nurul Jannah Mohd Yusof, 26, juga lega apabila selesai dinikahkan dalam tempoh 10 minit.

"Mulanya gementar juga apabila majlis pernikahan kami diadakan di pejabat agama yang turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, namun akhirnya saya berjaya melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz.

"Kami sepatutnya melangsungkan majlis perkahwinan 21 Mac lalu namun terpaksa menghubungi semula kesemua 250 jemputan bagi memaklumkan majlis kenduri kami ditangguhkan sehingga tahun hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Tosrin berkata, sebanyak 826 pasangan pengantin dijadualkan dinikahkan di pejabat agama seluruh Johor dalam tempoh PKPB, bermula hari ini sehingga 9 Jun depan.

"Hari ini 29 pengantin dinikahkan di Pejabat Agama Sislam Johor Bahru sejak jam 8 pagi sehingga 2 petang. Tetapi pejabat agama boleh menggunakan budi bicara melanjutkan masa jika terdapat jumlah pasangan yang ramai menunggu.

"Kita jangkakan sebanyak 300 lagi permohonan pernikahan ketika PKPB dengan ada juga yang memohon dinikahkan pada 3 dan 4 Syawal nanti, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 1:43 PM