TANAH Rata,Cameron Highlands. FOTO arkib NSTP
TANAH Rata,Cameron Highlands. FOTO arkib NSTP
Nik Sukry Ramli


SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, dimaklumkan mengenai dua projek naik taraf jalan di Cameron Highlands bagi mengelak kesesakan di destinasi pelancongan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk penilaian pada Julai lalu dan ia masih dalam proses kelulusan.

Katanya, antara dicadangkan adalah menambah laluan di Jalan Persekutuan Tapah-Cameron Highlands menjadi tiga lorong, berbanding laluan berkembar ketika ini.

“Kita berharap ia diluluskan segera. Selain jalan persekutuan itu, kita juga cadangkan naik taraf Simpang Jalan Langgak Mercu, Jalan Tengkolok, Persiaran Dayang Endah dan Jalan Masjid Tanah Rata.

“Cadangan ini disusun menerusi dua projek menaik taraf laluan keluar masuk di situ,” katanya pada sesi soal jawab.

Terdahulu, Cheong Yoke Kong (DAP-Tanah Rata) bertanya langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands, setiap kali musim cuti umum dan cuti persekolahan.

Selain cadangan naik taraf laluan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan kakitangan Majlis Daerah Cameron Highlands bagi memastikan kelancaran aliran trafik di pekan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 5:57 PM