JALAN Tapah - Cameron-Highlands yang ditutup pada 23 November lalu susulan tanah runtuh. FOTO Arkib NSTP
JALAN Tapah - Cameron-Highlands yang ditutup pada 23 November lalu susulan tanah runtuh. FOTO Arkib NSTP
Rosman Shamsudin

Tapah: Laluan kedua-dua arah Jalan Persekutuan FT059 Tapah- Ringlet (Cameron Highlands) yang terhalang akibat kejadian tanah runtuh baru-baru ini dibuka semula untuk semua kenderaan bermula jam 5 petang ini.

Notis pemberitahuan pembukaan jalan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

Bagaimanapun pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan jalan terbabit terutama ketika musim hujan.

Di samping itu, pengguna jalan juga boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Lojing untuk ke Cameron Highlands.

Terdahulu, akhbar melaporkan kejadian tanah runtuh di Batu 25 dan Batu 26 menyebabkan Jalan Pahang dari Tapah-Cameron Highlands ditutup sepenuhnya dari semua kenderaan .

Penutupan jalan berkenaan bagi membolehkan JKR menjalankan kerja -kerja pembersihan kesan runtuhan tanah di kawasan jalan terbabit.

Susulan kejadian itu, polis menasihati pengguna yang mahu menggunakan jalan berkenaan ke Cameron Highlands agar menggunakan jalan alternatif yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 12:56 PM