Nor Afzan Mohamad Yusof

PKR akan kehilangan gelaran sebagai reformis kerana kegagalan menjalankan proses pemilihannya yang bersih dan adil.

Bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam perkongsian Twitter hari ini berkata, untuk kekal sebagai reformis, parti itu perlu memiliki kaedah pengundian yang dipercayai lebih-lebih lagi parti itu yang memulakan pergerakan Bersih.

“PKR tidak lama lagi akan kehilangan gelaran reformis. Sebagai reformis, sekurang-kurangnya mereka perlu mempercayai pilihan raya yang bersih dan adil. Mereka buat. Beberapa tahun lalu. Apabila mereka membantu memulakan pergerakan Bersih,” katanya.

Twitter Ambiga itu merujuk kepada dakwaan seramai 13,000 pengundi dimasukkan ke dalam rekod keahlian PKR Cabang Julau, Sarawak pada Jun lalu menjelang tarikh tutup keahlian baharu untuk mendapat hak mengundi.

Cabang Julau menjadi perhatian selepas berlaku kenaikan mendadak jumlah keahliannya dari 603 kepada 13,000 ahli pada 27 Jun lalu sehingga laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ambiga berkata, PKR tidak seharusnya mengandaikan rakyat tidak melihat apa yang berlaku dalam pemilihan parti berkenaan, lebih-lebih lagi ia membabitkan puluhan ribu keahlian dalam tempoh hanya sehari di cabang berkenaan.

Sejumlah besar ‘ahli baharu’ ini, sudah membuat laporan polis mendakwa bahawa nama mereka dimasukkan ke dalam senarai keahlian PKR Julau, tanpa kebenaran.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa 13,000 nama diserahkan oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang menyertai parti itu pada 11 Mei selepas bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU-14) sebagai bebas dan disahkan kepimpinan parti .

Bagaimanapun, pemilihan di Julau digantung selepas mengalami serangan ‘malware’ pada komputer yang digunakan untuk proses e-pengundian.

Walaupun jawatankuasa pemilihan pusat PKR masih belum membuat keputusan mengenai kemungkinan pemilihan semula untuk Julau, membabitkan perebutan jawatan Timbalan Presiden antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa pemilihan itu itu belum selesai sepenuhnya.

Selain kontroversi Julau, pemilihan PKR turut dicemari insiden keganasan, tuduhan membeli undi dan masalah dengan sistem e-pengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 10:07 PM