GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi

my

POLIS menahan lelaki di Lapangan Terbang Sibu, hari ini bagi membantu siasatan kes godam e-undi sehingga menjejaskan proses pemilihan PKR Cabang Julau, semalam.

Suspek berusia 44 tahun yang juga pakar teknologi maklumat (IT) berasal dari Subang Jaya, Selangor itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Sibujaya pada 9.45 pagi ketika mahu menaiki penerbangan pulang ke ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, penahanan lelaki itu susulan laporan dibuat Exco Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail di Balai Polis Julau, malam tadi.

Beliau berkata, suspek kini disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Sibu.

“Jika siasatan dapat diselesaikan, suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis tetapi jika siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, permohonan reman akan dimohon,” katanya dalam satu kenyataan di Sibu, hari ini.

Turut dirampas daripada suspek yang bertugas di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya itu ialah laptop, tablet, dua telefon bimbit dan lima pemacu pena (pen drive).

Mustafa berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan komputer.

Katanya, berdasarkan laporan yang dibuat, pengubahsuaian pada peranti yang digunakan untuk sistem e-undi bagi pemilihan PKR Cabang Julau itu dikesan pada 2.30 petang, semalam.

Pengadu, Rodziah, mengesyaki suspek menggodam sistem e-undi selepas mendapati lelaki itu meneliti satu persatu peranti yang digunakan dalam proses pengundian itu.

Berikutan itu, keputusan pengundian bagi Cabang Julau yang menjadi penentu nasib bakal Timbalan Presiden PKR terpaksa digantung.

Julau yang memiliki 13,000 ahli berdaftar menjadi perhatian berikutan persaingan sengit antara penyandang jawatan berkenaan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan pencabarnya, Rafizi Ramli.

Cabang Julau dikenal pasti penyokong kuat Rafizi dan bekas Ahli Parlimen Pandan itu berada di pusat pengundian di Kompleks Sukan Julau sepanjang proses pemilihan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 10:26 PM