Faris Fuad


“NALURI hati saya mengatakan dia akan menyerah diri kepada polis hari ini atau esok,” kata adik suspek lelaki yang juga bapa tiri kepada kanak-kanak yang maut kelmarin, dipercayai akibat didera.

Khairul Mustaffa Khairuddin, 30, berkata, dia kenal dengan sikap abangnya yang memerlukan masa untuk berfikir dan membuat keputusan dengan waras.

“Jangan risau, abang tidak akan lari jauh, cukup masa nanti dia akan pulang dan serah diri kepada pihak berkuasa.

“Saya juga sedang giat usaha mengesan lokasi abang, walaupun menyedari nyawa terancam dan ibarat meletakkan sebelah kaki di dalam kubur, ia perlu dilakukan demi keadilan anak saudara dan keluarga.

“Serabut memikirkan perkara itu, sudah lima hari saya tidak dapat melelapkan mata, harapannya kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya pada NSTP, hari ini.

Khairul Mustaffa berkata, jenazah anak saudaranya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari, Cheras, kira-kira 5 petang, semalam.

“Pada awalnya, proses pengebumian dirancang dibuat di Taman Teratai, Kuala Lumpur.

“Namun, saya agak terkilan selepas diberitahu tanah perkuburan itu disediakan untuk orang kenamaan sahaja, selepas itu saya ambil keputusan untuk membawa jenazah anak saudara ke Cheras,” katanya.

Kelmarin, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berkenaan maut ketika dirawat di Hospital Ampang dipercayai akibat didera.

Ibu kandung dan bapa tiri mangsa melarikan diri sejurus menghantarnya ke hospital itu.

Sehubungan itu, polis meminta ibu kandung mangsa untuk tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Polis cari 'Boy Tiger,' isteri
  • Budak maut didera
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 12:38 PM