GAMBAR adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
GAMBAR adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Hamzah Osman


KANAK-KANAK lapan tahun ditemui rentung manakala bapanya cedera di kepala dalam kebakaran pondok pengawal di tapak pelupusan sampah di Kampung Kilim, Langkawi, hari ini.

Kanak-kanak itu dipercayai terperangkap manakala bapanya, 40, berjaya menyelamatkan diri, dalam kejadian kira-kira 3 pagi.

Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fadzullah Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 3.10 pagi.

Menurutnya, tiga pegawai dan 13 anggota bersama dua jentera ke lokasi.

Katanya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 minit kemudian dan mendapati pondok pengawal terbakar.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui kanak-kanak terbakar dan rentung," katanya.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sementara bapanya dibawa ke Hospital Langkawi untuk rawatan.

"Operasi tamat 4.43 pagi. Pondok itu terbakar 70 peratus. Sehingga ini, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 7:24 AM