BOTOL minuman keras yang dirampas, kelmarin. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
BOTOL minuman keras yang dirampas, kelmarin. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nor Azizah Mokhtar


JUMLAH terkini kematian disebabkan meminum arak mengandungi metanol di seluruh negara meningkat kepada 29 orang dengan dua lagi kematian dicatatkan di Selangor dan satu di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, setakat 8 pagi, hari ini, dua lagi mangsa dilaporkan meninggal dunia dengan kematian terbaru membabitkan dua warga asing, masing-masing seorang warga Myanmar dan Nepal.

"Jumlah kematian di Selangor meningkat kepada 22 orang hari ini manakala 22 orang lagi mangsa menerima rawatan di beberapa buah hospital di negeri ini serta Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Dua kematian terbaru itu membabitkan seorang lelaki warga Myanmar yang meninggal dunia di HKL dan seorang lelaki warga Nepal meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

"Mangsa yang meninggal dunia di HKL itu menetap di Sungai Buloh. Kedua-duanya berusia lingkungan 30-an," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, setakat hari ini, jumlah keseluruhan mangsa yang terkesan akibat arak beracun mengandungi metanol di negeri itu seramai 58 orang.

"Seramai 14 mangsa dilaporkan semakin pulih dan sudah dibenarkan pulang manakala 22 lagi mangsa masih menerima rawatan di hospital.

"Keseluruhan mangsa yang maut terdiri daripada 10 warga Myanmar, enam warga Nepal, masing-masing dua warga tempatan dan Bangladesh serta seorang warga India. Seorang lagi mangsa belum dikenal pasti warga negaranya," katanya lagi.

Mazlan berkata, 10 orang termasuk tujuh warga asing berusia antara 19 hingga 48 tahun ditahan dalam 13 serbuan di sekitar daerah Shah Alam, Gombak, Sungai Buloh dan Kajang menerusi Ops Methanol yang dilancarkan sejak kelmarin.

"Lima daripada 10 suspek termasuk seorang wanita tempatan dibebaskan dengan jaminan polis manakala selebihnya masih ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Menerusi operasi sama juga, Polis Selangor turut merampas 1,021 botol arak dan 1,695 tin bir pelbagai jenama.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, jumlah kematian di ibu negara bertambah seorang lagi menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal adalah lima orang.

"Selain lima kematian, dua lagi mangsa masih berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan.

Selain Lembah Klang, jumlah kematian kes arak metanol di Perak masih kekal dua orang.

Dalam perkembangan berkaitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pihaknya sudah menerima sejumlah 76 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan KKM.

Daripada jumlah itu, tujuh kes adalah yang baru dilaporkan iaitu enam dari Kuala Lumpur, dan satu kes di Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, secara keseluruhan, jumlah kes metanol di Kuala Lumpur adalah 15 kes; Selangor kekal dengan 55 kes dan Perak sebanyak enam kes.

"Pada masa ini KKM melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Keselamatan Kualiti Makanan (BKKM) sedang meneruskan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara mengesan minuman beralkohol disyaki.

"Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 7:43 PM