Mohd Azam Shah Yaacob


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seramai 19 individu maut selepas minum arak mengandungi metanol, manakala 23 lain masih dirawat di hospital termasuk 14 daripadanya kritikal.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat jam 5 petang tadi, pihaknya menerima sebanyak 51 notifikasi kes keracunan itu di mana sebanyak 45 kes dilaporkan di Selangor, manakala enam kes dilaporkan di ibu negara.

Katanya, tiga kes membabitkan rakyat tempatan manakala selebihnya iaitu seramai 48 lagi membabitkan warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.

“KKM menjangkakan jumlah pesakit akan meningkat berikutan terdapat ramai pesakit datang bagi mendapatkan rawatan bagi kes keracunan metanol itu.

“Kesemua mereka mempunyai sejarah pengambilan cecair beralkohol yang mengandungi bahan beracun berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua mereka menunjukkan tanda-tanda dan gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan serta mengalami sesak nafas, kekejangan dan tidak sedarkan diri.

Katanya, gejala atau tanda awal itu akan dialami dalam tempoh satu atau dua hari selepas mengambil minuman berkenaan.

“Hasil siasatan dijalankan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah mendapati kesemua pesakit membeli minuman sebatian keras di premis sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Laporan polis sudah dibuat KKM bagi mengesan pengedar serta pengilang minuman itu termasuk mengenal pasti punca keracunan seterusnya menyekat pembekalan sebatian minuman keras yang tercemar itu di pasaran.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mempertingkatkan tindakan penguat kuasaan ke atas produk minuman beralkohol yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 serta tidak mematuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.

Menurutnya, mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983, individu yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan mengandungi bahan beracun, merosak atau memudaratkan kesihatan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, KKM menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil sebarang minuman beralkohol yang mungkin mengandungi metanol serta mendatangkan masalah kesihatan termasuk maut.

“KKM akan bekerjasama dengan polis serta agensi terbabit bagi mengawal serta memantau perkembangan situasi kejadian keracunan itu. Situasi terkini kejadian akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Lapan lagi disahkan maut

[UPDATE] Polis rampas arak di 'Pasar Bangla'

7 maut keracunan alkohol

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 10:59 PM